Boleh cecah RM6,000 sebulan, Casga puji usaha AMS buka peluang anak tempatan jadi kedi


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

Bahari Abdullah (tengah) ketika sidang media di Kelab Golf A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

TUGAS kedi mungkin nampak mudah dengan ramai beranggapan hanya perlu berjemur di tengah panas.

Malah ada tanggapan bahawa kerja sebagai kedi mungkin tidak membawa masa depan yang lebih baik.

Tetapi tanggapan itu sebenarnya kurang tepat kerana karier kedi sebrnarnya boleh mendatangkan pulangan yang lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

Syaratnya, kedi perlu mendapat ilmu yang betul dan komited dalam melaksanakan tugas.

BACA LAGI: Baru berusia 20 tahun, Jeneath cemerlang pada kejohanan golf 'pentas' serantau

BACA LAGI: Anak bergaya bak golfer profesional, koleksi Armani perkenal set pakaian golf kanak-kanak

Itu yang diusahakan oleh sebuah akademi golf tempatan iaitu AMS Caddy Academy yang tampil dengan inisiatif melatih anak-anak tempatan sebagai kedi.

Dengan usaha ini, AMS bukan saja dapat membentuk seorang kedi yang terlatih bagi memenuhi kriteria bagi memenuhi pasaran dunia golf, malah  membuka peluang kepada mereka untuk mencari pendapatan lumayan.

Usaha ini ternyata mendapat pengiktirafan daripada Gabungan Persekutuan Pemain Golf Senior Asean (Casga).

Presidennya, Datuk Bahari Abdullah berkata, kerjaya sebagai kedi kini boleh menjanjikan pendapatan lumayan mencecah RM6,000 sebulan kepada anak-anak muda tempatan jika ada yang berminat menjadikannya sebagai pekerjaan tetap.

Menurutnya, tanggapan masyarakat di negara ini bahawa kerjaya sebagai kedi tidak menjanjikan pendapatan lumayan serta boleh dijadikan sumber rezeki menyara keluarga adalah tidak benar.

Katanya, industri golf di negara ini sebenarnya menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya diberikan ruang dan peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi kerjaya sebagai kedi.

"Lebih penting kerjaya kedi di bawah AMS menjanjikan gaji yang melebihi kadar gaji minimum yang baru ditetapkan oleh kerajaan, berstruktur dan mempunyai perlindungan insurans.

"Usaha AMS ini harus dipuji menaikkan martabat kerjaya sebagai kedi kerana sebelum ramai yang tidak percaya kedi boleh menjadi sumber pendapatan menyara keluarga," ujarnya kepada Majoriti baru-baru ini.

Bahari berkata, industri golf di negara ini kini amat memerlukan kedi tempatan kerana ingin mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan mewujudkan laluan kerjaya yang berdaya maju untuk bakat tempatan.

Malah, beliau berpuas hati dengan kualiti kedi tempatan yang diberi peluang pada sesi golf ketika mesyuarat Casga di Melaka, baru-baru ini.

"Apa yang saya dapati, kebanyakan mereka (kedi tempatan) masih baru dan masih dalam proses pengukuhan.

"Mereka sudah ada asas dan perlu kukuhkannya lagi dan banyak yang boleh ditambah baik," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Casga sejak ditubuhkan dapat mengikat tali persahabatan antara negara-negara ASEAN melalui sukan golf.

Menurutnya, persatuan itu dianggotai oleh ramai pesara kerajaan termasuk yang berjawatan tinggi seperti bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), bekas Ketua Hakim Negara, usahawan, pemilik kelab golf dan sebagainya.

"Sebagai contoh Presiden Casga di Thailand adalah bekas gabenor di Pattaya dan penglibatan kita sangat menyeluruh sejak 10 tahun lalu mempunyai hubungan baik antara masyarakat dengan rakyat dalam satu-satu negara tersebut," katanya.

Menurutnya, idea penubuhan Casga adalah untuk membantu kerajaan menyampaikan sebarang maklumat sama ada kepada masyarakat atau orang luar melalui sukan golf. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram