Bukan sekadar terapeutik, ini manfaat mengapa kanak-kanak perlu baca buku unsur humor


  • Relaks
  • Selasa, 15 Apr 2025

Buku-buku genre lucu mendorong kanak-kanak berasa yakin untuk mencuba benda baharu. — Gambar hiasan/Freepik

FIKIRKAN buku apa paling diminati anak-anak? Jika anda seperti kebanyakan ibu bapa lain perkara pertama menjengah ke ruang fikiran adalah buku kanak-kanak yang lucu.

Kajian scholastic menunjukkan bahawa humor di dalam sesebuah buku adalah ciri utama dicari kanak-kanak apabila mereka memilih bahan bacaan. Berdasarkan Laporan Scholastic Kids & Family Reading Report Edisi ke-7, lebih 50 peratus kanak-kanak cenderung mencari buku yang boleh membuatkan mereka ketawa.

Sementara itu sebanyak 47 peratus ibu bapa berpendapat sama mengatakan mereka ingin anak-anak membaca buku genre lucu. Apabila humor terlibat, seluruh keluarga akan menikmati bacaan sesebuah buku itu.

BACA LAGI: Anak bergaya bak golfer profesional, koleksi Armani perkenal set pakaian golf kanak-kanak

BACA LAGI: Wanita hamil lewat 40-an berisiko tinggi lahir anak autistik — Pakar

"Kebanyakan orang akan ketawa termasuklah kanak-kanak apabila membaca buku yang melucukan," kata Naib Presiden Kanan Penerbitan Bilik Darjah & Perpustakaan di Scholastic Education, Jessica Wollman.

"Buku lucu bukan sahaja menarik minat, bahkan meniupkan semangat kanak-kanak menjadikan amalan membaca sesuatu perkara menyeronokkan."

Apabila kanak-kanak gembira dengan apa yang dibaca, mereka akan mempunyai rasa keinginan untuk membaca lagi. Buku genre jenaka adalah sesuatu perkara lebih daripada sebuah hiburan.

Ia boleh menjadi pintu masuk kepada pemahaman bacaan yang lebih baik, meningkatkan kemahiran sosial, emosi dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Tiga manfaat humor dalam buku kanak-kanak:

1. Menjadikan pengajaran 'melekat'

Humor memainkan peranan dalam tahap perkembangan kanak-kanak apabila ia mencerminkan kebolehan kognitif dan linguistik termasuk membina kemahiran berpanjangan.

"Humor boleh menjadi cara efektif menjadikan pengajaran melekat dalam minda kanak-kanak dari tadika sehingga kolej," kata Wollman.

Dalam pada itu, humor turut mencetuskan rasa ingin tahu yang merupakan akar kepada semua pembelajaran.

Membaca buku menerapkan elemen humor memberikan terapeutik baik kepada ibu bapa mahupun kanak-kanak. — Gambar hiasan/Freepik

2. Memperkasakan

Humor juga mendorong kanak-kanak berasa yakin untuk mencuba benda baharu. Dengan membaca tentang watak yang melakukan kesilapan atau gagal dengan cara berjenaka membuatkan mereka berani menghadapi ketakutan dan keraguan.

"Buku yang mempunyai humor boleh memberi kuasa untuk pembaca muda.

"Berdasarkan jalan cerita ia menunjukkan bahawa tidak mengapa untuk kita sebagai manusia membuat kesilapan. Kanak-kanak boleh mengaitkan diri dengan watak seperti Junie B, Jones, dan Greg Heffley (anak lelaki lemah), yang melakukan kesilapan dengan cara menggelikan hati," kata Ketua Pegawai Impak Scholastic, Judy Newman.

Tambahnya, melalui buku lucu kanak-kanak juga berpeluang mendapat gambaran tentang bagaimana rasanya menjadi orang dewasa.

"Siri popular seperti My Weird School and The Bad Guys antara menggambarkan orang dewasa juga boleh melakukan kesilapan. Ini boleh memberikan ketenangan kepada kanak-kanak dan mendidik agar bijak menilai keputusan kelak," jelas Newman.

3. Terapeutik

Unsur lawak dalam buku menjadikan aktiviti membaca sebagai satu aktiviti sosial yang mengeratkan hubungan sesama kanak-kanak.

Ketawa boleh meningkatkan kanak-kanak celik huruf dalam banyak cara, tetapi ungkapan lama 'ketawa adalah ubat terbaik' masih utuh. 

Tambahan pula ketawa meningkatkan endorfin dikeluarkan otak bantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan emosi dan kesejahteraan diri

"Buat masa ini kami melihat buku menerapkan elemen humor memberikan terapeutik baik kepada ibu bapa mahupun kanak-kanak," ujar Newman. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram