Pakistan tarik diri akibat pergolakan negara, PSM lega India tak ikut sama


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Sumali (depan, kiri) lega hanya pasukan Pakistan disahkan menarik diri daripada Kejohanan ASTAF.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menarik nafas lega selepas hanya pasukan Pakistan disahkan menarik diri daripada Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang dijadualkan berlangsung bermula esok (Sabtu) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menurut Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan, penarikan diri Pakistan berpunca daripada ketegangan hubungan diplomatik dengan India susulan konflik yang sedang memuncak di antara kedua-dua negara.

BACA LAGI:

BACA LAGI: 

“Sedikit lega kerana hanya satu pasukan sahaja yang menarik diri. Sebenarnya, saya risau kerana bimbang kedua-dua pasukan (Pakistan dan India) menarik diri, tetapi India sudah tiba semalam (Khamis).

“Pakistan memang sudah menghubungi kita dua hari sebelum ini dan mereka sudah berusaha untuk datang ke sini. Setiausaha Persatuan Takraw Pakistan sahaja yang sudah ada di sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ASTAF di sebuah hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader mengesahkan Pakistan menarik diri selepas lapangan terbang antarabangsa di Islamabad ditutup akibat ancaman daripada tentera India.

Keputusan drastik tetapi terpaksa dilakukan dengan berat hati itu diumumkan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF), Noushad Ahmed Khan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Bersama Piala Asia Astaf, Abdul Halim pada 8 Mei 2025.

“Noushad memaklumkan saya dan Datuk Mohd. Sumali Reduan yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa itu dan Presiden PSM bahawa penarikan diri itu juga disebabkan lapangan terbang antarabangsa negaranya di Islamabad terpaksa ditutup gara-gara khuatir dengan ancaman serangan oleh tentera India.

“Enam pemain Pakistan dan jurulatih serta pengurus pasukan mereka pada mulanya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu malam tadi (8 Mei 2025) ke Kuala Lumpur,” kata Halim.

Pemain-pemainnya ialah Sarfaraz Rehman, Muhammad Khalid, Muhammad Shahroze Alvi, Muhammad Shahid, Aman Kumar Oad dan Aqeel Ahmed manakala pengurus, Akhtar Ali dan jurulatih, Dileep Kumar Oad.

Jawatankuasa Pengelola kejohanan katanya, menerima penarikan diri Pakistan secara force majeure (terpaksa diambil) biarpun mereka telah pun diundi pada majlis undian Piala Asia Astaf di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, 21 April 2025.

Walau bagaimanapun sebagai mematuhi peraturan kejohanan tegas beliau, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas undian dijalankan, perlu dikenakan keputusan kalah secara percuma atau walkover dan setiap lawan Pakistan akan dikira menang 2-0 (15-0, 15-0) dalam kedudukan mata acara kuadran dan regu.

Pakistan telah diundi dalam Kumpulan A acara kuadran Piala Asia Astaf dengan Vietnam, Singapura dan Korea Selatan manakala bagi regu, dengan Vietnam, China dan Jepun dalam Kumpulan C. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram