[VIDEO] 'Mungkin kita lupa pada ALLAH', hidap kanser kali-2, Gabit Saleh terus bertahan jual kopi tanggung kos rawatan


  • Podium
  • Rabu, 23 Apr 2025

Gabit kembali menghidap kanser hidung selepas bebas daripada penyakit berkenaan pada 2021.

“MASA awal kena, saya terima saja. Memang dah tertulis.” Kata-kata itu meluncur tenang daripada pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih dikenali sebagai Gabit, seorang pejuang sakit kanser yang kini sedang menghadapi ujian penyakit itu buat kali kedua.

Meskipun menyedari perlu menghadapi kesakitan berkenaan sekali lagi namun Gabit, 34, tetap tenang dan tidak rasa terlalu sedih atau berputus asa dengan nasib yang sedang menimpa juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia berkenaan.

Gabit pada awalnya disahkan menghidap kanser tahap empat pada 2021, tetapi sudah bebas daripada barah berkenaan pada 2023 selepas menjalani beberapa rawatan kemoterapi, namun Institut Kanser Negara (IKN) mengesahkan barah itu kembali menyerangnya pada awal 2024. 

BACA LAGI: Yakeb berhasrat dekati Lee Chong Wei, Nicol Ann David bantu atlet veteran

BACA LAGI: Hardi Jaafar sudah keluar wad, akan terus terima bantuan Yakeb

“Saya agak terima (kenyataan). Mungkin kita lupa pada Dia. Jadi apa yang Dia beri ini, mungkin untuk kita lebih ingat pada-Nya. Insya-ALLAH. Apabila keluarga tahu, mereka tak tunjuk kesedihan itu depan saya. Tapi keluarga semua terkejut.

"Tetapi, bila saya fikir positif, semua fikir positif. Ada yang tengok saya macam tak sakit, macam okey. Anak saya yang nombor tiga (bongsu) banyak cakap sikit, dia tahu ayah sakit dan ada kanser. Kadang-kadang nampak mata juling, dia cakap macam ayah," kongsi Gabit kepada Majoriti dengan senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Biar hati redha, tubuh tetap menanggung derita apabila setiap hari Gabit dihimpit kesakitan apabila menceritakan saraf tertarik, bengkak bawah telinga yang tidak surut hampir seminggu, serta rasa risau tentang kemungkinan pendarahan atau saraf yang tersumbat.

Meskipun dengan ujian sebegitu rupa, Gabit bukan sekadar duduk dan pasrah apabila atlet berkenaan berniaga kopi di tepi jalan, bersama isteri bagi membantu menampung kehidupan mereka berlima.

Selain itu, Gabit juga membuat jualan barangan motor susulan ia merupakan kepakarannya dan dia juga masih mempunyai jenalan dalam dunia off-road yang pernah menjadi kehidupannya sebelum jatuh sakit.

Gabit pernah menjadi juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia. 

Kini, atlet berkenaan dapat komisen dari cadangan servis, jualan tayar dan motor. Bila ada tenaga, Gabit akan buat coaching off-road dengan membawa peserta melalui laluan lasak walaupun dirinya sendiri terpaksa menahan sakit.

"Berniaga kopi paling tinggi harian dalam RM100 lebih dan selalunya, RM60 Untuk cover-cover harian. Selain itu, saya juga buat part-time jual barang motor dan kadang recommend orang lain buat servis motor, dapatlah komisen.

"Tapi tak selalu lah sebab benda itu kena rajib post dekat Instagram dan Facebook. Ada hari yang Gabit rasa mampu, Gabit buat coaching. Ramai kata Gabit rehat, kalau kita rehat nak makan apa?," tambah ayah kepada tiga orang anak itu.

Semasa kanser pertama, Gabit pernah dibantu oleh Kementeria Belia dan Sukan (KBS) dan beberapa yayasan dengan sumbangan diterima hampir mencecah RM300,000, termasuk kos rawatan di hospital swasta. 

Gabit bersama tiga orang anaknya. 

Bukan itu sahaja, beberapa sahabat lama dari dunia permotoran tampil membantu dengan dana yang dikumpul digunakan untuk rawatan dan juga untuk memulakan semula perniagaan seperti membeli food truck untuknya berniaga kopi.

Namun untuk kali kedua ini, Gabit memilih untuk tidak memberitahu sesiapa susulan tidak mahu terlalu menyusahkan orang ramai. Bagaimanapun, jika mendapat bantuan, Gabit tidak menolak pemberian itu.

“Saya diam saja. Tak nak susahkan orang. Tapi kawan rapat tahu. Mereka post gambar, dari situ orang mula tahu. Saya tak mengharap lah. Kalau ikutkan, Gabit punya pendapatan sekarang memang tidak cukup.

"Bukan kata tak cukup. Memang tak ada. Cuma, saya percaya memang ALLAH Ta'ala akan bagi rezeki itu nanti," kongsinya yang kini memerlukan kira-kira RM200 seminggu untuk rawatannya di IKN dan Hospital Putrajaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram