[VIDEO] Noorul Ariffin salur dana, kaunseling bantu Gabit Saleh 'survive' kanser hidung


  • Podium
  • Rabu, 23 Apr 2025

Gabit (tengah) ketika ditemui di kediamana Gabit di Rawang pada Rabu. 

ISU kebajikan bekas atlet permotoran tanah air kembali mendapat perhatian apabila beberapa pihak tampil menyuarakan keperluan untuk bantuan lebih tersusun kepada wira-wira sukan negara yang kini menghadapi cabaran kesihatan serius.

Perkara itu termasuk kepada pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih dikenali sebagai Gabit, seorang pejuang kanser yang kini sedang menghadapi ujian penyakit itu buat kali kedua.

Gabit menghidap kanser tahap empat pada 2021 sudah bebas daripada barah berkenaan pada 2023 selepas menjalani beberapa rawatan kemoterapi, namun Institut Kanser Negara (IKN) mengesahkan barah itu kembali menyerangnya pada awal 2024.  

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin kita lupa pada ALLAH', hidap kanser kali-2, Gabit Saleh terus bertahan jual kopi tanggung kos rawatan

BACA LAGI: Yakeb berhasrat dekati Lee Chong Wei, Nicol Ann David bantu atlet veteran

Menurut pengasas Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sudah tiba masanya badan-badan berkaitan seperti Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bertindak proaktif dalam memantau keadaan bekas atlet. 

“Memang mereka ini ada satu kekangan, tidak mahu dibantu tapi mereka harus diperhatikan. Kita tak nak mereka dibiarkan begitu sahaja,” katanya merujuk kepada beberapa bekas pelumba seperti Mohamad Zamri Baba, Adi Haslam, dan Gabit sendiri. 

Dalam pada itu, Noorul Ariffin memberitahu akan membantu Gabit dari segi sokongan moral dengan menghantar pasukan khas terdiri daripada bekas pesakit kanser untuk memberi kaunseling kepada pesakit seperti atlet itu. 

Menurut Noorul Ariffin yang sebelum ini merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), pasukan berkenaan bukan sahaja memberi motivasi tetapi turut berkongsi pengalaman melawan penyakit yang amat ditakuti ramai itu. 

Pengasas Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) bersama Gabit.

"Pasukan ini terdiri daripada mereka yang berjaya keluar daripada kanser. Mereka akan beri semangat dan juga cara-cara dan sebagainya. Hal ini sangat penting kepada sesiapa yang mengalami kanser. 

"Kanser ini ada cara keluar dia. Mereka akan beri semangat dan semangat itulah yang akan mereka melawan penyakit itu. Dari segi kewangan, sekarang kami nak tanya perihal daripada IKN untuk tahu macam mana dan bagaimana kita boleh membantu. 

"Kita akan lihat apa jenis bantuan yang mereka akan dapat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamana Gabit di Rawang, Selangor pada Rabu. 

Gabit pernah menjadi juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia. 

Sebagai usaha awal, beliau telah menghubungi YAKEB untuk mendaftarkan Gabit sebagai ahli agar layak menerima bantuan kesihatan dan kebajikan. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan satu perbincangan akan diadakan bersama pasukannya untuk merangka bentuk bantuan yang sesuai buat Gabit, termasuk mengambil kira keputusan pemeriksaan perubatan yang dijangka diumumkan pada 29 April ini.

Untuk rekod, Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran yang ditubuhkan sejak 2013, turut memainkan peranan dalam memperkasakan golongan kurang berkemampuan termasuk bekas atlet, dengan memberikan latihan kemahiran.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram