
PENJAGA gol berpengalaman tanah air, Khairul Fahmi Che Mat disahkan telah menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama Sabah FC bagi satu musim lagi.
Perkembangan itu memberikan nafas lega kepada barisan kejurulatihan The Rhinos yang masih menaruh kepercayaan kepada pengalaman luas penjaga gol itu dalam mengemudi benteng terakhir pasukan.
Berita baik itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
"Extend! Khairul Fahmi Che Mat difahamkan sudah menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama Sabah. Sabah extend Apek’s contract for one more year," katanya.
BACA LAGI: 'Masih sayang Sabah FC', Khairul Fahmi sah lanjut kontrak setahun bersama The Rhinos
BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan
Penjaga gol berpengalaman tanah air, Khairul Fahmi (tengah) kekal bersama Sabah FC musim depan. — Facebook/Sabahfc
Kontrak lanjutan selama setahun itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan Khairul Fahmi atau mesra disapa Apek yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super lain.
Walaupun usianya menginjak 36 tahun, kehadiran Apek masih dianggap penting dalam skuad Sabah atas kemampuannya di atas padang.
Sepanjang bersama Sabah sejak 2022, Apek membuktikan bahawa dia masih relevan di pentas tertinggi bola sepak negara dengan beberapa aksi cemerlang yang membantu pasukan mengekalkan kedudukan kompetitif dalam saingan liga.
Kontrak lanjutan itu turut memberi mesej bahawa Sabah FC kekal komited mengekalkan keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda dalam pasukan.
Kepimpinan Apek juga dilihat penting dalam membimbing pemain muda seperti Damien Lim dan penjaga gol pelapis lain di Sabah.
Dengan keputusan tersebut, penyokong The Rhinos pastinya boleh mengharapkan musim 2025 yang lebih stabil dan bersedia dengan Apek terus mengawal gawang pasukan dari Borneo itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram