[VIDEO] Tak kenal erti penat, Bruno Fernandes hanya mahu rehat andai sudah tidak bernyawa


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Bruno meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 Man United ke atas Bilbao pada Jumaat. — Agensi

KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes mendedahkan menolak cadangan untuk berehat daripada pengendali kelab iaitu Ruben Amorim dan pasukan perubatan walaupun berada di puncak bebanan perlawanan musim ini.

Fernandes menjadi nadi utama ketika United mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Athletic Club dalam aksi pertama separuh akhir Liga Europa UEFA di San Mames, Bilbao, Sepanyol pada Jumaat.

Dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan, pemain tengah Portugal tersebut menyatakan komitmennya untuk terus beraksi tanpa henti biarpun terdapat kebimbangan mengenai tahap kecergasannya.

BACA LAGI: Jika hanya mahu main UCL, jangan datang ke Man United — Ruben Amorim

BACA LAGI: Kedudukan tak penting, ramai masih mahu bermain untuk Man United — Amorim

“Pengurus dan ahli fisioterapi kata saya perlu rehat, tapi saya kata tidak. Bila saya mati, saya akan ada banyak masa untuk baring dan berehat," katanya memetik video dimuat naik TNT Sports 1.

Musim ini menyaksikan Manchester United melalui prestasi paling suram dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabilla menghuni kedudukan ke-14 namun Fernandes kekal sebagai tonggak utama pasukan.

Dengan 4,491 minit permainan setakat ini, pemain tengah berkenaan hanya terlepas satu perlawanan di pentas Eropah akibat penggantungan dan satu aksi liga domestik sepanjang musim 2024/2025.

Fernandes menyumbang 19 gol dan 18 bantuan jaringan musim ini. Dalam saingan Liga Europa sahaja, beliau kini memegang rekod sumbangan gol terbanyak sepanjang zaman dengan 27 jaringan dan 18 bantuan.

Kemenangan 3-0 ke atas Athletic Club membawa Manchester United selangkah ke final Liga Europa dan membuka peluang cerah untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada saingan musim hadapan.

 

 

Casemiro membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-30 hasil hantaran silang Manuel Ugarte. Empat minit kemudian, Fernandes menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti selepas Rasmus Hojlund dijatuhkan Daniel Vivian, yang turut dibuang padang.

Sebelum rehat, Fernandes sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas menerima bantuan jaringan cantik daripada Ugarte dan menyudahkan dengan tenang dari dalam kotak penalti.

United kini membawa pulang bekalan tiga gol ke Old Trafford untuk aksi timbal balik, sambil meletakkan satu kaki ke pentas akhir kejohanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram