
BOLA sepak tidak sepatutnya dijadikan platform untuk berpegang kepada kuasa, kata Hannah Yeoh.
Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan bahawa hanya mereka yang mempunyai keupayaan pengurusan yang betul wajar diberi amanah untuk mengurus kelab bola sepak demi memastikan kelangsungan liga tempatan serta menjaga kebajikan pemain.
Beliau berkata, kegagalan sesetengah kelab untuk mengurus perkara asas seperti pembayaran gaji dan kebajikan pemain boleh menjejaskan usaha menarik penaja untuk menyokong perkembangan bola sepak.
BACA LAGI: FIFA dilapor gantung TFC, mungkin ada kaitan tunggakan gaji Ivan Mamut
BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan
"Jika bola sepak sendiri pun bergelut untuk mendapatkan penaja, bayangkan betapa sukarnya bagi sukan lain. Bola sepak mempunyai pengikut yang ramai, jadi apabila hendak meyakinkan penaja, mereka akan melihat bagaimana kelab diuruskan, sama ada gaji dibayar tepat pada masanya dan kebajikan pemain dijaga.
"Kalau tak mampu, jangan libatkan diri. Bagi peluang kepada orang lain. Masalahnya, kadang-kadang ada orang yang tak ada keupayaan tetapi masih mahu berpaut kepada kuasa, dan ini menghalang pihak lain untuk ambil alih," katanya.
Ketika ini, banyak pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) sedang menghadapi masalah kewangan yang serius dengan tunggakan gaji dilaporkan membelenggu para pemain dan kakitangan pasukan juga.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan tujuh pasukan Malaysia dalam senarai larangan perpindahan iaitu Kelantan FC, Kelantan FA, PT Athletic FC, Sarawak United, Perlis, Melaka United FC, dan Melaka United.
Terengganu FC (TFC) turut disenaraikan tetapi telah menjelaskan bahawa semua tunggakan telah diselesaikan menjelang akhir April.
Selain itu, Hannah turut mengulas mengenai gesaan untuk memboikot liga tempatan sebagai protes terhadap dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan menyatakan bahawa idea tersebut tidak wajar.
Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa pasukan-pasukan lain sepatutnya menumpukan usaha untuk memperbaiki prestasi masing-masing bagi bersaing dengan juara 11 kali berturut-turut Liga Super tersebut.
Hannah menasihati agar individu berkeupayaan perlu menjaga kelab bola sepak. — Facebook/HannahYeoh
“Saya rasa tidak adil untuk menyalahkan JDT kerana mereka berjaya. Tumpuan sepatutnya diberi kepada usaha mengejar tahap mereka — bukan memboikot atau menarik diri hanya kerana mereka terlalu hebat. Itu bukan reaksi yang rasional atau wajar.
“Pada pandangan saya, JDT telah membantu meningkatkan standard bola sepak tempatan sebagai sebuah kelab dan mereka patut dipuji. Pasukan lain seharusnya mengambil ini sebagai motivasi untuk bersaing secara sihat, bukannya bersikap ‘kalau tak mampu lawan JDT, lebih baik jangan main’. Itu bukan semangat kesukanan,” tambah beliau. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram