[VIDEO] MB Sanusi tidak boleh salahkan FAM-MFL, sebaliknya kelab yang urus duit — Zulakbal


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Sanusi yang merupakan Presiden KFA tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pandangan. — Facebook/Kedah FA

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan kekecewaannya apabila pendekatan bola sepak kini ibarat ‘memakai baju bukan saiz sendiri’ apabila cuba meniru model luar jangkauan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegur bahawa perkara itu berlaku apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih berpegang kepada peraturan yang membebankan pasukan. 

Tidak boleh dinafikan bahawa pandangan dilontarkan Sanusi itu adalah tepat kerana selepas MFL dilantik sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) pada 2016, banyak kelab yang bertanding terpalit dengan isu gaji.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanusi ingatkan FAM tak ikut telunjuk 'pihak tertentu', ukur baju di badan sendiri

BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi

Bagaimanapun, kenyataan daripada Muhammad Sanusi itu tidak boleh dianggap tepat susulan pemerhati sukan tempatan iaitu Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, MFL hanya bertugas sebagai badan penganjur dan soal kewangan terletak di tangan kelab. 

"Menyalahkan MFL sebagai pengelola, saya agak tidak begitu bersetuju. Kerana bukan MFL yang jaga kelab punya kantong duit. Bukan mereka yang menguruskan, kelab mengurusnya kewangan mereka. 

"Jadi memang sepatutnya kelab dipersalahkan kerana mereka yang menghadapi masalah kewangan kerana tidak kompeten dalam menguruskan kewangan kelab. Tidak akan nak salahkan pengelola pula. MFL pengelola.

"Bukan mereka yang jaga duit. Bukan mereka yang urus duit. Bukan mereka yang menentukan ke mana duit itu dibelanjakan atau menjadi punca kepada defisit kewangan. Jadi tidak boleh nak salahkan MFL. 

"Tetapi MFL kena melihat satu yang menyeluruh tentang bagaimana perkara itu akan berlaku dan bagaimana ia nak diatasi," katanya kepada Majoriti. 

MFL ditubuhkan adalah seiring dengan kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga sama seperti liga-liga domestik terkemuka Asia contohnya Liga Jepun (J.League), Liga Korea Selatan (K League) serta liga terkemuka dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) serta La Liga di Sepanyol.

Selain untuk memenuhi kehendak AFC, pertubuhan MFL pada 2015 dan dijalankan secara profesional sepenuhnya bermula tahun 2016 merupakan evolusi bola sepak profesional yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

"Persatuan-persatuan (FA) di luar negara memberikan anak syarikat untuk menganjurkan liga macam EPL di England dan di Sepanyol pula ada La Liga. Jadi model itu diadaptasi dan kita perbaikilah. 

"Tidak akan lah Malaysia nak patah balik kepada FAM sebagai badan pertandingan, nampak tak profesional di situ kan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram