'Otai masih berbisa,' kudrat 3 kuda tua Liga Super termasuk jeneral JDT masih ditagih musim depan


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Khairulazhan telah mencatatkan lebih 150 penampilan bersama Selangor FC. — Facebook/Selangorfc

DALAM saingan Liga Malaysia (Liga M) yang semakin kompetitif saban musim, kehadiran pemain berusia yang masih aktif beraksi dengan prestasi konsisten terus mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Biarpun kebanyakan pemain seangkatan telah menggantung but, beberapa nama besar dalam bola sepak tempatan kekal relevan dan menjadi tonggak penting kepada pasukan masing-masing.

Mereka bukan sahaja membawa pengalaman yang luas, malah turut berperanan sebagai pemimpin di atas padang.

BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG

BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan

Kehadiran pemain veteran itu membuktikan bahawa faktor umur bukan halangan untuk terus menyerlah dalam saingan liga utama.

Sebaliknya, disiplin tinggi, ketahanan fizikal dan semangat juang menjadi kunci kepada ketahanan mereka di peringkat tertinggi.

Situasi itu juga dijangka menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa karier bola sepak boleh dipanjangkan sekiranya penjagaan diri dan dedikasi diberikan sepenuhnya kepada sukan ini.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain tanah air masih belum mahu menggantung but meskipun usia semakin meningkat.

1. Khairulazhan Khalid

Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid masih bertekad meneruskan karier dalam arena bola sepak tempatan walaupun sudah mencecah usia 35 tahun.

Penjaga gol berketinggian 1.82 meter itu baru-baru ini menamatkan hampir satu dekad bersama Selangor FC selepas menyertai kelab itu dari Sri Pahang FC pada 2016.

Sepanjang tempoh tersebut, Khairulazhan telah mencatatkan lebih 150 penampilan dan membantu Selangor mara ke perlawanan akhir beberapa kejohanan utama seperti Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.

Bekas penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan kini dilaporkan bakal menyertai Penang FC bagi musim hadapan. — Facebook/Selangorfc

Selepas berpisah dengan Gergasi Merah, Khairulazhan kini dilaporkan bakal menyertai Penang FC bagi musim hadapan, menggantikan tempat penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel.

Perpindahan itu membuka lembaran baharu buat Khairuazhan yang masih diyakini memiliki kualiti serta pengalaman untuk terus memberi impak dalam saingan Liga M.

2. Natxo Insa

Jeneral tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa merupakan antara pemain paling konsisten dalam skuad juara bertahan itu walaupun telah berusia 38 tahun.

Pemain naturalisasi tersebut kekal menjadi nadi utama di bahagian tengah JDT, berbekalkan pengalamannya yang luas serta kebolehan taktikal yang tinggi.

Bekas pemain Celta Vigo itu juga sering menjadi pilihan utama dalam saingan domestik mahupun peringkat antarabangsa.

Tonggak tengah Harimau Selatan, Natxo Insa. — Facebook/JST

Natxo sendiri mengakui bahawa meskipun usianya semakin meningkat, dia masih berasa segar dan penuh motivasi setiap kali turun beraksi.

Komitmen dan kecintaannya terhadap bola sepak menjadikannya contoh terbaik kepada pemain muda tentang bagaimana disiplin dan profesionalisme mampu memanjangkan karier di peringkat tertinggi.

3. Darren Lok

Penyerang warisan England-Malaysia, Darren Lok terus membuktikan dirinya sebagai ancaman utama di barisan hadapan Sabah FC meskipun kini berusia 35 tahun.

Sejak menyertai pasukan dari Borneo itu pada musim 2023, Darren menjadi pilihan utama jurulatih ketika itu, Datuk Ong Kim Swee, dalam memperkuatkan jentera serangan.

Ketajamannya di depan gol terbukti apabila tonggak Sabah FC itu merekodkan 18 jaringan dan lapan bantuan gol sejak menyarung jersi Sabah.

Darren menjadi penyerang utama Sabah sejak musim 2022. — Facebook/SabahFC

Selain menjadi penjaring utama, pengalaman Darren turut memainkan peranan penting dalam membimbing pemain muda dalam skuad.

Dengan semangat juang yang tinggi serta prestasi konsisten, Darren Lok kekal sebagai aset penting Sabah FC dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram