‘Ukur baju di badan Harimau Malaya’, pilihlah pasukan yang sama ranking


  • Podium
  • Ahad, 04 Mei 2025

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan aksi persahabatan di dalam negara sebagai persiapan menghadapi Vietnam. — Facebook/MalaysiaNT

"PERANCANGAN aksi persahabatan skuad Harimau Malaya perlu bersifat realistik dan strategik, bukan sekadar memilih lawan berprofil tinggi".

Demikian tegas pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang menekankan pentingnya memilih pasukan lawan berdasarkan kedudukan ranking yang sepadan bagi mengelakkan kerugian dari segi mata ranking FIFA.

“Kita kena rancang awal untuk aksi persahabatan dalam kalendar FIFA. Bukan mudah sebenarnya sebab negara lain pun buat perancangan sama. Jurang ranking antara pasukan sangat diambil kira,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan

BACA LAGI: 'Dulu gaji sangat tinggi cecah RM100,000, terima kasih XOX berjaya letakkan Perak kedudukan yang betul'

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli. Agensi

Menurut beliau, pasukan yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking selalunya kurang berminat untuk menentang negara seperti Malaysia kerana kekalahan akan menyebabkan mereka kehilangan mata ranking secara signifikan.

Oleh itu, pendekatan terbaik ialah menentang pasukan dalam kelompok yang hampir sama.

"Perbezaan ranking juga antara faktor yang diambilkira dalam memilih pasukan untuk perlawanan persahabatan. Kita mungkin boleh merancang untuk menentang mana-mana pasukan yang rankingnya di atas kita tetapi adakah mereka berminat.

"Jurang ranking yang jauh juga akan merugikan mereka tambahan pula jika mereka tewas yang pasti akan menyebabkan mata ranking mereka ditolak dengan banyak.

“Oleh itu, pilihlah pasukan sekitar ranking 120 hingga 140, tidak kira dari Asia Tenggara atau Asia secara keseluruhan. Ukur baju di badan sendiri,” tambahnya.

Pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel (kanan) menampilkan prestasi cemerlang membantu skuad kebangsaan. — Facebook/MalaysiaNT

Dalam masa sama, Pekan turut menyentuh soal kerjasama serantau, terutamanya dengan negara jiran seperti Indonesia yang dikaitkan dengan penganjuran kejohanan tri nation.

“Kalau betul Indonesia jemput kita, elok kita sambut dengan semangat persahabatan. Kita ini dalam satu rumpun. Dulu masa Pestabola Merdeka, Indonesia antara yang sering kita undang. Sekarang ini, suasana makin tegang, banyak sangat provokasi,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar Malaysia dan Indonesia memanfaatkan kejohanan itu sebagai platform untuk memperbaiki hubungan serta mendidik penyokong agar lebih berdisiplin dan menghormati antara satu sama lain.

“Kita tak perlu bermusuh. Kita pun belum pernah layak ke Piala Dunia atau jadi kuasa besar Asia. Jadi lebih baik kita berpakat, bukan berlawan ego.

"Contohi Jepun dan Korea yang saling menyokong dalam pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi hingga ke kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat penyokong untuk melihat pertemuan Harimau Malaya dan Sang Garudia itu nampaknya tidak kesampaian selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menafikan sebarang perancangan rasmi untuk menganjurkan kejohanan mini melibatkan pasukan kebangsaan Indonesia, Malaysia dan Lubnan pada jendela antarabangsa FIFA dari 1 hingga 9 September 2025.  

Walaupun laporan awal mendakwa dua negara telah dijemput, Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, Arya Sinulingga menegaskan bahawa tiada perbincangan atau pengesahan rasmi dibuat setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram