
BEK tengah negara, Dion Cools semakin membuktikan nilainya bersama Buriram United di Thailand kerana sepanjang setahun setengah di sana, dia berjaya meraih pelbagai kejayaan.
Selepas menjulang treble domestik musim lalu, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu berpeluang menambah koleksi kejuaraan apabila menduduki tangga teratas liga memasuki fasa terakhir kempen.
Namun, cengkaman mereka di persada mula goyah kerana pada Sabtu, anak-anak buah Osmar Loss mengalami kekalahan kepada pasukan di kedudukan ketiga, BG Pathum United di laman sendiri.
BACA LAGI: Posisi terkini Dion Cools antara 3 input menarik pertembungan Malaysia-Nepal
BACA LAGI: [VIDEO] Bantu benam Ulsan, Dion Cools 'ajar' Kim Pan-gon posisi sebenar atas padang
Dion Cools beraksi 90 minit ketika pasukannya mengalami kekalahan kepada BG Pathum United.
Jaringan Kritsada Kaman pada minit ke-79 permainan menyaksikan Buriram United mengalami kekalahan ketiga Liga Thailand musim ini dengan mereka kini hanya memiliki kelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat, Bangkok United.
Meskipun masih memiliki kelebihan agak selesa, kegagalan meraih kemenangan pasti memberi tekanan besar buat skuad Thunder Castle, termasuk kepada Dion Cools yang dikesan terlibat dalam kontroversi selepas perlawanan.
Dalam satu video dimuat naik di media sosial, bekas pemain FC Midtjylland itu dikesan bertengkar dengan pemain pertahanan BG Pathum, Christian Gomis yang difahamkan berpunca daripada kekasaran bek Harimau Malaya berkenaan.
Klip berdurasi lebih dari seminit terbabit menyaksikan Dion Cools beberapa kali menyentuh pihak lawan itu dalam usaha menenangkan pertelagahan tersebut, namun usahanya itu tidak membuahkan hasil.
Ini kerana Gomis yang berusia 26 tahun itu bertindak menepis tangan tonggak Buriram United tersebut sambil mempersoalkan terjahan keras dilakukan kapten Harimau Malaya berkenaan.
Kekecohan tersebut memaksa pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan meleraikan pemain berkenaan dengan mereka bernasib baik kerana tiada sebarang layangan kad diberikan.
Gomis yang merupakan graduan akademi Paris Saint-Germain (PSG) pasti akan menanti satu lagi pertembungan berdepan Dion Cools dan Buriram United pada 7 Mei depan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Shopee.
Ini kerana dalam empat pertemuan berdepan gergasi bola sepak Thailand berkenaan, bek kelahiran Senegal tersebut hanya merekodkan satu kemenangan dengan tiga lagi aksi berakhir dengan kekalahan buat BG Pathum United.
Bagi Dion Cools pula, dia juga memiliki keazaman sama dalam usaha menambah lebih banyak gelaran bersama Buriram United dengan tiada sebarang trofi peringkat Asia dijulang setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram