
PEMEGANG saham majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Daud Bakar baru-baru ini berkongsi bahawa belum ada usaha yang benar-benar tertumpu kepada penyelesaian kewangan semasa skuad Sang Kenari.
Salah satu insiatif yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan adalah mengadakan satu perlawanan istimewa iaitu All Star Match, dijadual berlangsung pada 3 Mei 2025 (Sabtu) sebagai usaha untuk mengumpul dana.
Menarik mengenai perlawanan persahabatan berkenaan apabila ia bakal menampilkan bintang antarabangsa iaitu Ricardo Quaresma serta barisan legenda bola sepak Kedah dan Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada pukul 9 malam.
BACA LAGI: Kedah tunai janji, kelibat bintang Portugal di Darul Aman legakan hati penyokong
BACA LAGI: Belum ada usaha selesaikan kewangan semasa KDA FC — Daud Bakar
Skuad All Star Malaysia dijangka menampilkan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super seperti Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Abdul Latif Suhaimi, Syazwan Zainon dan Azmil Azali.
Manakala, untuk skuad All Star Kedah pula dijangka dibarisi oleh bekas-bekas pemain Hijau Kuning seperti Baddrol Bakhtiar, Radhi Mat Din, Rafdi Rashid, Victor Andrag, Nelson Sam Martin, Fauzi Nan dan Fauzi Saari.
All Star Match bukan sekadar perlawanan persahabatan berikutan ia merupakan alat ukur untuk melihat masa depan KDA FC sama ada akan terus kembali bernyawa pada musim depan atau terkubur begitu sahaja.
1) Kehadiran penyokong
Melihat kepada hantaran pasukan media KDA FC di laman Facebook rasmi mereka, perlawanan persahabatan itu seperti kurang mendapat sambutan susulan tiada perkembangan rasmi mengenai penjualan tiket mereka.
Terbaharu, beberapa syarikat swasta dilaporkan sudah menghubungi pihak KDA FC menunjukkan minat kepada perlawanan All Star Match dan setelah perbincangan, mereka menaja tiket pavilion berjumlah sebanyak 7,000 keping tiket kepada pengikut Sang Kenari.
Andai gelanggang rasmi KDA FC iaitu Stadium Darul Aman penuh dengan lautan hijau kuning, ia memberi mesej jelas bahawa Sang Kenari masih memiliki sokongan padu daripada rakyat Kedah dan para penyokong setianya.
Jika kehadiran tinggi dicatat, ia bukan sahaja membuktikan kesetiaan penyokong Sang Kenari, malah memberi peluang kepada KDA FC untuk merancang strategi pemasaran dan penjenamaan yang lebih berkesan.
2) Kata putus dari Quaresma
Perlawanan All Star Match yang diserikan dengan kehadiran Quaresma dan bekas pemain Portugal iaitu Joao Tomas boleh mempengaruhi keputusan bekas pemain Barcelona itu untuk bermain bersama skuad Hijau Kuning.
Pihak pengurusan Sang Kenari sebelum ini secara terbuka membuat tawaran kepada Quaresma yang juga rakan Cristiano Ronaldo itu untuk beraksi dengan kelab Utara tanah air berkenaan bagi musim 2025/2026.
Daud Bakar dalam satu kenyataan bagaimanapun memberitahu bahawa kelab meletakkan syarat tertentu kepada pemain itu untuk beraksi dengan mereka antaranya gajinya akan ditanggung oleh pihak penaja daripada Portugal.
Jika pemain berusia 41 tahun itu melihat suasana stadium yang meriah, sambutan hangat penyokong, serta semangat kebersamaan antara pasukan dan komuniti, ia boleh menjadi faktor penarik untuk menerima tawaran bermain di Kedah.
Sekiranya Quaresma melihat potensi tinggi dan kesungguhan pasukan dalam membina skuad yang kompetitif, besar kemungkinan dia akan melihat Kedah bukan sekadar destinasi bola sepak sementara tetapi sebagai satu cabaran profesional untuk kembali ke kariernya selepas bersara.
3) Peluang cari penaja
Selain itu, aksi All Star Match boleh menjadi medan pertemuan antara pihak pengurusan kelab dan pihak korporat untuk menjalin hubungan strategik, yang sekali gus untuk mencari potensi penaja.
Dalam suasana santai tetapi berprofil tinggi, perbincangan dan rundingan mengenai penajaan boleh diadakan secara tidak langsung, dengan menunjukkan kredibiliti kelab melalui penganjuran yang profesional dan tersusun.
Penaja juga dapat menilai sejauh mana nilai komersial kelab melalui sambutan penonton dan jualan barangan rasmi sepanjang perlawanan melibatkan nama-nama besar bola sepak tempatan serta dua jemputan itu.
Penglibatan Quaresma dan Tomas boleh meningkatkan imej dan nilai komersial kelab secara drastik dengan ia memberi mesej jelas kepada pasaran bahawa KDA FC bersedia untuk bekerjasama secara serius dengan penaja dalam usaha membina jenama kelab yang lebih kukuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram