[VIDEO] Karakter kapten terserlah di Vietnam, bintang pinjaman JDT calon terbaik ganti tugas Dion Cools


  • Podium
  • Isnin, 14 Apr 2025

Penampilan sulung Endrick (lima kiri) sebagai kapten menyaksikan Ho Chi Minh menang 1-0 ke atas Hoang Anh Gia Lai FC. — Instagram/hcmcfc

PEMAIN naturalisasi Harimau Malaya, Endrick dos Santos semakin menyerlah di bumi Vietnam apabila mempamerkan prestasi meyakinkan bersama Ho Chi Minh City FC.

Aura kepimpinannya terserlah apabila pemain tengah kelahiran Brazil itu diberi tanggungjawab besar sebagai kapten pasukan dalam aksi Liga 1 Vietnam.

Endrick yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) telah menggalas tugas besar dengan menyarung lilitan kapten dalam dua aksi terbaru kelab tersebut iaitu ketika bertemu Hoang Anh Gia Lai FC dan Thep Xanh Nam Dinh FC.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan

BACA LAGI: Lepas sah kekalkan Salah, Liverpool kian bernafsu sambar bintang Perancis ganti Nunez

 

 

Menariknya, penampilan sulungnya sebagai ketua pasukan menyaksikan Ho Chi Minh mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Hoang Anh Gia Lai FC, satu permulaan yang cukup meyakinkan buat pemain tengah berusia 30 tahun itu.

Persembahan bertenaga dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Endrick pastinya mencetus rasa bangga dalam kalangan penyokong tanah air kerana melihatnya sebagai wakil Malaysia yang berjaya di pentas luar negara.

Malah, prestasi konsisten Endrick pastinya mampu mencetus perbincangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang mengikuti perkembangannya di Vietnam.

Hal ini kerana, aura kepimpinannya kini dijangka mampu memberikan saingan kepada Dion Cools, yang sering diberikan tanggungjawab menyarung lilitan kapten ketika bersama skuad Harimau Malaya.

Untuk rekod, Endrick telah tampil dalam 16 perlawanan Liga 1 Vietnam musim ini, dengan menyumbang dua jaringan dan empat bantuan gol.

Ketika ini, Ho Chi Minh City FC berada di tangga ke-10 carta liga dengan kutipan 21 mata selepas mengharungi 18 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram