Belum ada usaha selesaikan kewangan semasa KDA FC — Daud Bakar


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Daud Bakar akan mencurahkan 100 peratus usaha bagi menstabilkan semula situasi skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

ISU tunggakan gaji yang melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia dengan pihak pengurusan yang diketuai Tan Sri Mohd Daud Bakar masih belum menemui jalan penyelesaian. 

Dalam satu kenyataan, Daud Bakar menyuarakan pemahaman terhadap kegusaran para penyokong dan menegaskan bahawa beliau sendiri berkongsi hasrat untuk melihat masalah tersebut diselesaikan segera.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, skuad Sang Kenari perlu menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM7 juta jika ingin kekal dalam Liga Super musim hadapan. 

BACA LAGI: Tawar Quaresma ketuai jentera serangan Sang Kenari, Kedah letak syarat

BACA LAGI: Kedah tawar bekas bintang Portugal jawatan TD, petanda sedia kembali menjadi pencabar Liga Super

"Saya amat memahami kegusaran para penyokong yang mahukan isu tunggakan gaji diselesaikan segera. Percayalah, saya juga berkongsi keinginan yang sama. Namun sehingga kini, belum ada usaha yang benar-benar tertumpu kepada penyelesaian cabaran kewangan semasa. 

"Ada juga yang berkongsi kisah bantuan, tetapi kebanyakannya hanya berkait dengan komitmen masa lalu. Isu semasa ini masih belum menemui jalan penyelesaian yang nyata," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Sebagai usaha untuk mengumpul dana dan menarik minat penaja luar, satu perlawanan istimewa iaitu All Star Match, dijadual berlangsung pada 3 Jun 2025 dengan bakal menampilkan bintang antarabangsa Ricardo Quaresma serta barisan legenda bola sepak Kedah dan Malaysia.

Dengan penyokong Hijau Kuning yang memainkan peranan untuk membeli tiket bagi perlawanan berkenaan, ia secara tidak langsung menyumbang kepada proses pemulihan kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.

"Saya percaya, setiap penyokong mempunyai peranan. Melalui pembelian tiket, anda secara langsung menyumbang kepada proses pemulihan kelab yang kita cintai ini. Ia mungkin kelihatan kecil, tetapi sangat besar ertinya buat kami di sini.

"Saya telah lama memikul tanggungjawab ini. Kini, saya mengajak anda semua untuk bersama.  Bukan dengan desakan, tetapi dengan tindakan yang boleh mengubah nasib kita dan membina tunas harapan. Jangan biarkan saya dan kelab keseorangan di masa susah dan sulit," tambahnya. 

Skuad All Star Malaysia dijangka menampilkan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super seperti Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Abdul Latif Suhaimi, Syazwan Zainon dan Azmil Azali.

Manakala, untuk skuad All Star Kedah pula dijangka dibarisi oleh bekas-bekas pemain Hijau Kuning seperti Baddrol Bakhtiar, Radhi Mat Din, Rafdi Rashid, Victor Andrag, Nelson Sam Martin, Fauzi Nan dan Fauzi Saari.

Perlawanan persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia akan berlangsung pada 3 Mei 2025 bertempat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada pukul 9 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram