
LEGENDA bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma serta bekas penyerang Benfica, Joao Tomas kini sah menjejakkan kaki di Malaysia apabila tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah pada Khamis.
Kehadiran mereka adalah sebagai persiapan menjelang aksi persahabatan antara pasukan All Star Kedah dan All Star Malaysia yang dijadual berlangsung pada 3 Mei ini.
Ketibaan dua figura ternama itu disahkan menerusi muat naik oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di platform rasmi kelab pada Khamis, yang turut memaparkan gambar mereka di lapangan terbang.
BACA LAGI: Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang
“Selamat datang Ricardo Quaresma dan Joao Tomas,” ujar pihak pengurusan dalam kenyataan ringkas tersebut.
Menambahkan keterujaan penyokong, bekas pemain sayap Barcelona sempat meluangkan masa bergambar bersama peminat setia yang menunggu kehadirannya.
Kehadirannya nyata mencetuskan pelbagai reaksi teruja daripada peminat, yang selama ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran bintang tersebut.
“Akhirnya, Quaresma berpijak di bumi Darul Aman setelah bertahun-tahun rumours berlegar-legar,” kata seorang penyokong, Syuhaimy Mansor.
“Akhirnya rumours menjadi kenyataan, Quaresma tiba di bumi Hijau Kuning," Fakhrul Hadi.
“Perghh mantap, ingatkan depa nak scam penyokong Kedah, padu!,” Mohd Yusrizal Mohamed Yusof.
Kehadiran dua nama besar itu dijangka menjadi tarikan utama dalam aksi pertunjukan tersebut, yang pastinya menghidupkan kembali semangat bola sepak dalam kalangan penyokong tempatan.
Lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan, ia turut mencerminkan kesungguhan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam usaha mengangkat imej kelab ke peringkat lebih tinggi, termasuk menarik perhatian di peringkat antarabangsa.
KDA FC sebelum ini secara terbuka menawarkan Quaresma peluang untuk beraksi dengan Sang Kenari bagi musim 2025/2026 dengan meletakkan syarat tertentu antaranya gajinya akan ditanggung oleh pihak penaja daripada Portugal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram