Tak usah kejar bintang Bundesliga, pemain EPL bakal tamat kontrak jadi pilihan Liverpool ganti TAA


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Alexander-Arnold dikhabarkan mungkin berhijrah ke Real Madrid. — Agensi 

PEMERHATI bola sepak terkenal, Lewis Steele mencadangkan agar Liverpool mempertimbangkan Ola Aina sebagai penyelesaian pantas dan mudah bagi mengisi kekosongan posisi bek kanan sekiranya Trent Alexander-Arnold meninggalkan kelab secara percuma musim panas ini.

Menurut Steele, juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mempunyai dana dan kesediaan untuk berbelanja dalam jendela perpindahan akan datang untuk mencari pemain baharu di posisi berkenaan. 

Bagaimanapun, kehilangan Alexander-Arnold yang kontraknya bakal tamat dijangka menjadi satu dilema besar buat pengurusan tertinggi Anfield untuk mencari penggantinya pada musim 2025/2026. 

BACA LAGI: 'Tiada lagi alasan', mesej jelas Salah buat Liverpool sebaik muncul kelab no.1 EPL

BACA LAGI: [VIDEO] Arne Slot balas budi, ketuai 'chant' Jurgen Klopp rai Liverpool juara EPL

Buat masa ini, Conor Bradley kekal sebagai satu-satunya pilihan senior di posisi bek kanan. Walaupun pemain berusia 21 tahun itu menunjukkan potensi besar, Steele menzahirkan kebimbangan terhadap rekod kecergasannya sejak menyertai skuad utama musim lalu.

Menjawab pertanyaan dalam sesi Liverpool Confidential oleh Daily Mail, Steele berpendapat bahawa Bradley bukan calon sesuai di posisi berkenaan susulan rekod kecergasannya yang agak merisaukan.  

"Conor Bradley ialah pemain bola sepak yang hebat tetapi dia tidak boleh bermain setiap minggu. Rekod kecergasannya menimbulkan kebimbangan, walaupun buat masa ini posisi bek kiri dilihat sebagai keutamaan," katanya. 

Frimpong kini beraksi untuk Bayer Leverkusen. Agensi 

Walaupun nama Jeremie Frimpong pernah dikaitkan, Steele memaklumkan bahawa pemain itu kini tidak lagi menjadi sasaran utama.

Sebaliknya, dia mengesyorkan Aina dari Nottingham Forest sebagai calon ideal, terutamanya kerana kontraknya akan tamat pada akhir musim ini.

"Jika dia tersedia secara percuma, selepas musim cemerlang yang ditunjukkannya, kelab-kelab besar patut memantaunya," ujar Steele.

Laporan CaughtOffside turut menyatakan bahawa pihak pengurusan Liverpool telah mengenal pasti pemain antarabangsa Nigeria itu sebagai calon pengganti kepada Alexander-Arnold, yang dikhabarkan mungkin berhijrah ke Real Madrid.

Pemain berusia 28 tahun berkenaan sudah memainkan peranan penting dalam kempen mengejut pasukan di kedudukan keenam EPL berkenaan untuk mencabar kedudukan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini. 

Aina dari Nottingham Forest dianggap sebagai calon ideal untuk posis bek kanan Liverpool. Agensi 

Statistik FBref menunjukkan dia berada dalam kelompok 15 peratus teratas bagi kejayaan menggelecek dan 24 peratus teratas dalam buangan bola di kalangan bek kanan lima liga utama Eropah.

Walaupun tiada perpindahan bebas daripada risiko, Steele berpendapat prestasi mantap Aina dalam Liga Perdana menjadikannya satu pertaruhan yang wajar oleh FSG jika mereka perlu mencari pengganti Trent dalam skuad utama.

Jika Alexander-Arnold benar-benar meninggalkan Anfield, Aina dilihat sebagai pilihan yang patut disambar segera oleh Liverpool. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram