
PENGURUSAN Penang FC menegur First Instance Body (FIB) berhubung keputusan melanjutkan tarikh akhir pemuatan dokumen pelesenan kelab, sambil mendesak badan bebas itu agar lebih menghargai kelab-kelab yang telah menunjukkan disiplin dan profesionalisme dengan mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.
Susulan pengumuman rasmi FIB mengenai lanjutan tarikh akhir pelesenan bagi kitaran 2024–2025 sehingga 10 Mei, Penang FC menzahirkan kebimbangan serius bahawa kecenderungan memberi kelonggaran berulang kali bakal memberi kesan buruk kepada ekosistem bola sepak negara.
Dalam kenyataan pada Khamis, Penang menyatakan bahawa walaupun memahami cabaran yang dihadapi oleh sesetengah kelab, amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang adalah satu langkah ke belakang dan boleh menggalakkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan liga.
BACA LAGI: Hantaran cetus persoalan, Clayton beri 'hint' tinggalkan TBG atau sahkan ura-ura Perak terkubur?
BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa
Skuad Harimau Kumbang turut menzahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang bentuk penghargaan atau insentif diberikan kepada kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir pelesenan seperti ditetapkan sebelum ini.
Kenyataan tegas dan berani dari skuad Harimau Kumbang itu juga mendapat pujian daripada penyerang import Perak FC, Clayton da Silva dengan menyifatkan ia patut menjadi contoh kepada kelab-kelab lain.
"Sungguh kelab yang hebat. Tahniah Penang FC atas teladan dan profesionalisme yang ditunjukkan. Beginilah cara bola sepak dan perniagaan dijalankan," katanya menerusi ruang komen.
Penyerang kelahiran Brazil berkenaan sebelum ini lantang menggesa pengurusan kelab skuad The Bos Gaurus (TBG) agar segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang timbul selama beberapa bulan.
"Roy Ho Yew Kee (pengarah eksekutif XOX), inilah wajah lelaki kotor yang menjanjikan kami segala-galanya. Bayar dari syarikat anda atau akaun anda tetapi jaga kata-kata anda! Jika tidak, kami akan mencari anda!” luahnya menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Sebelum ini, bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal turut meluahkan rasa kurang senang berhubung isu sama.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa Perak FC akan dibubarkan dan tidak menyertai saingan Liga Super musim depan, dengan spekulasi tersebut hangat diperkatakan di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp