Kapten Sang Kenari hangat di pasaran, Penang FC dikatakan paling berminat


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

KDA FC menutup saingan Liga Super 2024/2025 di kedudukan ke-11 liga. — Facebook/KDAFC

STATUS Kedah Darul Aman (KDA) FC sama ada akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan masih menjadi persoalan susulan tiada kenyataan rasmi berhubung perkembangan kewangan mereka. 

Usaha yang dilakukan pada ketika ini untuk mengumpul dana ialah mengadakan perlawanan istimewa iaitu All Star Match, dijadual berlangsung pada 3 Jun 2025 dengan bakal menampilkan bintang antarabangsa Ricardo Quaresma serta barisan legenda bola sepak Kedah dan Malaysia.

Dengan penyokong Hijau Kuning yang memainkan peranan untuk membeli tiket bagi perlawanan berkenaan, ia secara tidak langsung menyumbang kepada proses pemulihan kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.

BACA LAGI: Bukan saja Akmal Rizal, legenda Harimau Malaya juga tabik Ibrahim Manusi, harap diberi peluang

BACA LAGI: 'Sayang jika bakat tersekat', Patrick Vieira Malaysia patut jadikan kelab Pantai Timur, Utara sebagai destinasi

Susulan tiada jaminan akan beraksi Liga Super musim depan, satu-persatu pemain skuad Sang Kenari dikatakan akan membawa haluan baharu dan terkini, ketua pasukan Kedah pula iaitu Mohd Akmal Md Zahir dikaitkan dengan pasukan lain.

Hantaran dari pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi bahawa ketua pasukan Kedah itu menjadi rebutan beberapa pasukan dengan nama Penang FC paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya. 

"Biar jasa jadi kenangan, difahamkan kapten Kedah Akmal Zahir tinggalkan Sang Kenari setelah menerima tawaran beberapa pasukan dengan Penang dikatakan paling berminat mendapatkan khidmatnya musim depan," katanya pada Jumaat. 

Sejak menyertai pasukan Utara tanah air berkenaan pada 2022, Akmal Zahir telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam kariernya sebagai pemain pertahanan tengah apabila dia mendapat banyak peluang bermain. 

Akmal Zahir dikaitkan dengan Penang FC pada musim depan.  — Facebook/KDAFC

Sumbangannya turut membantu Kedah mencatat beberapa keputusan positif di liga, kejohanan domestik dan Piala AFC 2022, dengan pemain berusia 31 tahun berkenaan sudah merekodkan 52 perlawanan bersama Sang Kenari. 

Aksi konsistennya bersama Kedah selama tiga musim boleh membantu bahagian pertahanan Penang susulan seterus Sang Kenari itu sedang mempersiapkan diri untuk cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selain Akmal, nama-nama seperti Haziq Nadzli, Lucas da Silva, Richmond Ankrah, Declan Lamber dan Ariff Farhan berkemungkinan besar akan disambar oleh Penang FC sebagai persiapan untuk saingan musim 2025/2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram