'Sendiri tak bayar gaji tapi salahkan orang lain', TMJ pesan contohi Selangor dan Kuching City


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Selangor menjadi contoh kelab yang menjaga kebajikan pemain. — Facebook/SelangorFC

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus lantang menyuarakan pandangannya berhubung masalah tunggakan gaji yang semakin meruncing dalam kalangan kelab-kelab bertanding Liga Malaysia (Liga M).

Menerusi kenyataan di laman X peribadi beliau pada Khamis, Tunku Ismail atau dikenali sebagai TMJ menegur bahawa kelab di saingan Liga M sepatutnya berbelanja secara berhemah dan tidak melebihi kemampuan.

Selain itu, beliau juga berpendapat pasukan bola sepak wajar ditadbir oleh individu yang mempunyai minat dan kefahaman terhadap industri itu sendiri dengan menjadikan Selangor FC dan Kuching City sebagai contoh.

BACA LAGI: TMJ lawat PSG Campus, padang latihan baharu dan 'loan' pemain Les Parisiens moga jadi kenyataan

BACA LAGI: TMJ tahu hasrat saya untuk mewakili negara — Armin

"Apa susah? Bayar gaji, dan jangan belanja lebih daripada kemampuan. Cari orang yang minat dan faham bola menguruskan kelab bola sepak. Belanja secara berhemah. Contohi Kuching FC dan Selangor FC," titah beliau dalam hantaran di akaun media sosial pada Khamis.

Dalam pada itu, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut menyelar tindakan pihak pengurusan kelab yang gagal menguruskan perbelanjaan dengan baik sehingga tercetusnya masalah kewangan yang kronik.

"Sendiri tak bayar gaji, sendiri tak jaga kebajikan, sendiri gagal merancang dan mengurus pebelanjaan, tapi salahkan orang lain, salahkan peraturan, salahkan liga dan lain lain," katanya pada hantaran berbeza.

Menariknya, hantaran berkenaan dimuat naik bersama gambar cermin yang dilihat seolah-olah sindiran untuk pihak tertentu cermin diri sendiri dahulu sebelum menuding jari ke arah lain menjadi tabiat.

 

 

Teguran lantang Tunku Ismail itu dipercayai merupakan respons terhadap kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membina sebuah ekosistem baharu bagi menekankan soal penajaan, menjana pendapatan sebagai kerangka untuk menjamin survival kelab atau pasukan bola sepak Liga M.

Adam Adli berkata, FAM tidak boleh bersikap lepas tangan berhubung kemelut kewangan beberapa pasukan dan kelab sehingga ada yang ingin menarik diri sekali gus menjejaskan saingan Liga Super musim 2025/2026.

Tegas beliau, permasalahan yang dihadapi itu juga tidak seharusnya mengheret campur tangan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan mahu pun kerajaan negeri untuk membantu mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram