
BEKAS penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali berharap agar jeneral tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi diberi peluang untuk menyertai Harimau Malaya pada masa akan datang.
Pandangan itu dibuat selepas prestasi cemerlang Ibrahim dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu minggu lalu.
Pemain tengah berusia 23 tahun itu kelihatan cekap mengawal jentera tengah Tok Gajah dan banyak membantu mematahkan setiap serangan yang digerakkan JDT.
BACA LAGI: PAFA pastikan bola sepak terus 'hidup' di Perak
Safee Sali berharap agar Baim Manusi diberi peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan. — Facebook/Sripahangfc
Berdasarkan persembahannya, Safee menggesa agar pemain yang mesra disapa Baim itu diberi peluang untuk menyertai Harimau Malaya bagi membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa dia patut diberi peluang sebab bermain dengan sangat baik,” katanya ketika menjadi panel dalam program Nindia.
Pandangan Safee turut dipersetujui oleh bekas pemain Harimau Malaya, Razman Roslan.
Razman berpendapat Ibrahim wajar diberi peluang berdasarkan prestasinya sepanjang musim 2024/25.
“Ibrahim wajar diberi peluang. Dengan komitmen, kerajinan dan kerja keras dia di atas padang, saya rasa dia bekerja keras mengawal bahagian tengah Sri Pahang.
"Jika dia tiada, mudah bagi pasukan JDT untuk menembusi pertahanan Sri Pahang,” ujarnya.
Musim 2024/25 telah menyaksikan Ibrahim merekodkan 25 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk Piala Malaysia.
Bukan sahaja Safee, malah sebelum ini bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut melihatnya sebagai permata baharu dalam bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram