[VIDEO] Gagal bantu JDT di ACLE, tak mustahil nasib Hector Bidoglio dalam bahaya


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Status Hector Bidoglio bersama JDT musim depan belum diketahui. — Facebook/JST

MUSIM 2025/26 dijangka menyaksikan perubahan besar dalam kem Harimau Selatan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan besar akan diterajui oleh seorang ketua jurulatih baharu.

Menurut pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, dalam siaran Nadi Arena, pengendali semasa, Hector Bidoglio berpotensi digantikan susulan kegagalan JDT mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.

JDT tersingkir di pusingan kalah mati selepas tewas tipis 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor 11 Mac lalu.

BACA LAGI: Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang

BACA LAGI: Sukar tembus '1st Eleven', hanya panaskan bangku simpanan antara resahkan fans TFC andai Safawi Rasid kembali ke JDT

“Bidoglio telah mencapai KPI di peringkat domestik, namun satu-satunya sasaran yang gagal dicapai adalah di peringkat Asia, khususnya ACLE,” katanya.

Tambah Zulhelmi, berdasarkan rekod JDT sebelum ini, kegagalan mencapai sasaran di pentas antarabangsa sering menjadi faktor utama perubahan jurulatih.

Situasi yang sama pernah berlaku kepada pengendali terdahulu seperti Esteban Solari, Mario Gomez dan Benjamin Mora yang tidak kekal selepas gagal menepati standard ditetapkan kelab.

“Saya menjangkakan senario yang sama akan berulang. Harimau Selatan dijangka tampil dengan seorang nakhoda baharu musim depan,” jelasnya lagi.

Jika spekulasi itu menjadi kenyataan, musim 2025/26 bakal menjadi titik permulaan baharu buat JDT dalam usaha mengukuhkan kembali dominasi domestik serta melonjakkan pencapaian di peringkat Asia.

Sebelum ini, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa status Bidoglio akan diputuskan dalam masa terdekat sama ada dikekalkan sebagai ketua jurulatih atau sebaliknya ketika sesi soal jawab bersama penyokong di JDT Cafeteria, Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram