Penang FC rasa tidak dihargai, MFL lanjutkan tarikh Lesen Kebangsaan MFL


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Sebahagian daripada perbincangan pihak pengurusan Penang FC yang diketuai YB Daniel Gooi menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kesan negatif terhadap lanjutan tarikh Lesen Kebangsaan.

PENANG FC mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk melanjutkan tarikh akhir pemuatan naik dokumen pelesenan kelab bagi musim 2024–2025 ke dalam sistem AFC CLAS sehingga 10 Mei 2025.

Menurut kenyataan tersebut, Penang FC memaklumkan bahawa pihaknya menerima keputusan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) dengan penuh hormat, dan menghargai fleksibiliti yang diberikan kepada kelab-kelab yang menghadapi cabaran dalam memenuhi keperluan pelesenan. 

Namun begitu, pihak pengurusan Harimau Kumbang turut menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kesan negatif sekiranya lanjutan tarikh seperti itu menjadi amalan kebiasaan oleh kelab-kelab lain.

BACA LAGI: Penang FC bercita-cita besar ke pentas Asia, siap ada 'bayangan' skuad utama musim depan

BACA LAGI: Penang FC terpaksa 'lawan' kelab Lembah Klang rebut sentuhan bakat muda Kelantan

"Kelonggaran yang diberikan boleh menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah-langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil dengan segera. 

"Tanpa tekanan tarikh akhir yang tegas, wujud risiko bahawa isu kewangan akan berlarutan dan menjadi lebih serius sehingga menjejaskan kelangsungan operasi kelab itu sendiri. 

"Ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada pemain, pegawai, dan pihak berkepentingan lain seperti penaja serta penyokong yang mengharapkan kestabilan dan kebertanggungjawaban daripada pengurusan kelab," kata kenyataan itu. 

Penang FC turut menzahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang bentuk penghargaan atau insentif diberikan kepada kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir pelesenan seperti ditetapkan sebelum ini. 

Pihak pengurusan kelab yang berpangkalan di Utara tanah air berkenaan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu tamparan kepada usaha dan komitmen yang telah Penang FC tunjukkan.

"Apabila kelab yang tidak memenuhi keperluan kewangan dan pentadbiran tetap dibenarkan untuk bertanding dalam liga, ini akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam persaingan. 

"Kelab-kelab yang telah berusaha dengan teliti untuk menepati segala syarat pelesenan secara sah dan tepat pada masanya mungkin akan terjejas atau berada dalam kedudukan yang tidak adil. 

"Keadaan ini boleh menjejaskan kredibiliti liga secara keseluruhan dan memberi persepsi bahawa pematuhan bukanlah satu keutamaan dalam pengurusan bola sepak profesional di negara ini," tambah kenyataan itu. 

Penang menutup saingan di kedudukan ke-10 liga pada musim 2024/2025.

Penang FC juga menegaskan bahawa amalan melonggarkan peraturan secara berterusan boleh mencemarkan piawaian industri bola sepak negara serta mencetuskan budaya ketidakpatuhan yang akhirnya memberi kesan kepada reputasi Malaysia di peringkat serantau, khususnya di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Penang FC menyatakan komitmennya terhadap integriti, ketelusan, dan profesionalisme dalam pengurusan bola sepak, serta menyeru agar usaha kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir diberi pengiktirafan sewajarnya oleh MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram