Lepas bantu JDT nikmati musim bersejarah, Arif Aiman 'aim' rekod peribadi


  • Podium
  • Selasa, 22 Apr 2025

Arif Aiman mahu membantu skuad Harimau Selatan menjulang lebih banyak gelaran pada musim-musim akan datang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEBUAH lagi musim bersejarah mampu dicatatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana mereka berpotensi menjulang semua piala bagi pasukan senior buat tahun ketiga berturut-turut.

Mereka yang sudah menjuarai Liga Super dan Piala FA sudah tentu mahu menutup kempen kali ini dengan kejayaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, sekali gus menjadi pasukan tanah air pertama berbuat demikian.

Pencapaian itu turut diletakkan tonggak pasukan, Arif Aiman Hanapi yang berazam menambah koleksi kejuaraan selain turut memasang impian untuk menambah gelaran individu pernah diraih sepanjang karier.

BACA LAGI: Berpotensi sebagus Arif Aiman, ‘ubi muda’ JDT dari Kedah patut dapat panggilan lawan Vietnam

BACA LAGI: [VIDEO] Arif Aiman dirasa lawan paling sukar, Brendan Gan pasang impian kendali Selangor

Arif Aiman menikmati musim cemerlang bersama JDT, terutamanya di pentas Asia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Mentaliti kami di JDT adalah untuk bersaing bersungguh-sungguh bagi setiap kejuaraan dan mahu menjadi lebih baik saban tahun. Saya bersemangat dalam menjulang satu lagi trofi," katanya.

Pemain berusia 22 tahun tersebut menikmati sebuah lagi musim membanggakan dalam kariernya setelah mencatatkan 13 gol dan 14 bantuan jaringan daripada 31 penampilan di pentas domestik.

Bagaimanapun, kemuncak kepada kempen gemilangnya adalah apabila dia menjadi watak utama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dengan lima gol serta dua bantuan jaringan direkodkan.

Meskipun gagal membantu skuad Harimau Selatan melangkah ke peringkat suku akhir, Arif Aiman masih wajar diangkat sebagai pemain terbaik di pentas Asia musim ini, sebaris bintang-bintang ternama.

Pelbagai gelaran individu sudah dinikmati Arif Aiman sepanjang kariernya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam pada itu, anak jati Pahang tersebut juga memasang cita-cita untuk meraih Anugerah Pemain Tengah Terbaik, namun mengakui cabaran besar menantinya kerana dua lagi nama dalam senarai pendek turut menikmati musim cemerlang.

"Saya berdepan pemain yang berbakat seperti Stuart Wilkin dan Safawi Rasid, jadi ia akan menjadi persaingan sengit. Tetapi, apa jua keputusannya, setiap gelaran diterima adalah satu bonus.

"Tetapi, saya memang bercita-cita untuk membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) buat tahun keempat berturut-turut kerana ia akan menjadi sumber motivasi cukup baik," katanya lagi.

Selepas kali pertama merekodkan pencapaian tersebut pada 2021, pemain sayap lincah itu tidak menoleh ke belakang apabila mudah mengatasi setiap pencabar dari musim ke musim.

Kejayaan merekodkannya buat tiga musim berturut-turut itu menyaksikannya terikat dengan Norshahrul Idlan Talaha yang turut menikmati tempoh sama bermula 2009 ketika era kegemilangan Kelantan. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram