Sir Jim Ratcliffe 'buat hal' lagi, hampir 200 pekerja Man United termasuk baru naik pangkat bakal dibuang kerja


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Keputusan dan perubahan dibawa Ratcliffe mengundang rasa kurang senang ramai pihak. — Agensi

KIRA-KIRA 200 kakitangan Manchester United dilaporkan telah diberitahu bahawa mereka berisiko kehilangan pekerjaan apabila Sir Jim Ratcliffe merancang satu lagi pusingan pemotongan tenaga kerja, menurut laporan yang diterbitkan oleh Daily Mail.

Pemotongan terbaru yang dilakukan oleh jutawan terkemuka Britain itu dikatakan bakal melibatkan kakitangan kanan, termasuk individu yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke pasukan kepimpinan tertinggi. 

Beberapa kakitangan dimaklumkan mengenai nasib mereka sejak minggu lalu, manakala yang lain hanya menerima berita tersebut dalam tempoh 48 jam yang lepas. 

BACA LAGI: Dia mahu hancurkan Man United — Cantona

BACA LAGI: [VIDEO] Cantona memang ‘luar biasa’, bikin hos terpinga-pinga sebelum aksi Man United-Fulham

Turut terkesan adalah seorang pekerja yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, dikenali dan dihormati dalam industri serta membawa pengalaman dan nilai yang tinggi kepada kelab.

Langkah itu menambah kepada jumlah sekitar 450 kakitangan yang telah kehilangan pekerjaan sejak INEOS mengambil alih operasi bola sepak kelab tersebut. Jumlah itu mewakili lebih satu pertiga daripada tenaga kerja asal Man United.

Pengasas dan pengerusi syarikat multinasional INEOS itu mengambil alih 25 peratus pegangan dalam Manchester United pada Disember 2023 dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar £1.3 bilion (RM7.7 bilion). 

Beliau sebelum ini mendapat pujian selepas melantik beberapa individu berprofil tinggi ke dalam pengurusan kelab, termasuk Omar Berrada dari Manchester City, serta membawa masuk Sir Dave Brailsford dan Jean-Claude Blanc. 

Omar Berrada dilantik mencadi Ketua Pegawai Eksekutif Man United pada Januari 2024. — Agensi

Pelantikan Jason Wilcox sebagai pengarah teknikal serta Dan Ashworth sebagai pengarah sukan juga dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh struktur Man United. 

Namun, prestasi di atas padang kekal tidak konsisten di bawah kendalian Erik ten Hag, walaupun kelab berjaya menjulang Piala FA 2024 dan Piala Carabao 2023. 

Ten Hag akhirnya dipecat pada Oktober dan digantikan oleh pengendali dari Portugal iaitu Ruben Amorim, langkah yang dilaporkan menelan kos sehingga £21.4 juta (RM126.3 juta) kepada kelab.

Proses pemecatan itu menerima kritikan meluas dan dianggap sebagai salah satu tanda awal kelemahan pengurusan baharu di bawah kepimpinan Ratcliffe. 

Ten Hag berkhidmat selama tiga musim bersama Man United. — Agensi

Ratcliffe sebelum ini mempertahankan tindakan pemotongan pekerja dalam satu temu bual bersama legenda United, Gary Neville dengan menyatakan langkah itu adalah penting bagi mengelakkan kelab daripada mengalami masalah kewangan serius.

Kini, dengan laporan bahawa bahagian pencari bakat turut terkesan teruk termasuk pemergian pengarah pencari bakat Steve Brown selepas sembilan tahun. Ramai orang dalam kelab melahirkan kebimbangan bahawa tindakan itu bakal merobek jiwa semangat Man United.

Kebangkitan semula gelaran sinis 'The Jim Reaper' mencerminkan ketidakpuasan hati ramai terhadap cara Ratcliffe menguruskan perubahan dalam struktur organisasi kelab yang pernah menjadi antara yang paling stabil di dunia bola sepak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram