Sabah ibarat rumah ke-2 Pak Karim, janji bangkit selepas musim sukar


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Tae-su pernah menyatakan kesanggupan untuk menamatkan karier bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

SEJAK menyertai Sabah FC pada 2019, Park Tae-su berjaya mencuri hati penyokong selepas berjaya menguasai Bahasa Melayu selain dapat menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Di atas padang pula, dia yang pada awalnya tiba sebagai pemain tengah hadir dengan reputasi cukup baik sehingga dapat membantu skuad Sang Badak kembali ke divisyen teratas pada musim debutnya.

Bagaimanapun, dengan usianya semakin meningkat, barisan kejurulatihan kemudian memberinya tugasan baharu dengan meletakkannya dalam barisan pertahanan bagi menutupi kekosongan ditinggalkan rakan sepasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Maafkan gol sendiri Tae-su, ini 3 momen Pak Karim harumkan Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su

Tae-su (kiri) sudah beraksi buat skuad Sang Badak sejak 2019.

Peranan itu dipikul cukup baik sehingga menyaksikannya diberi peranan kapten kira-kira tiga musim lalu selepas bekas pengendali, Datuk Ong Kim Swee kagum dengan nilai kepimpinannya di atas padang.

Namun, musim ini, kisah sebaliknya dapat disaksikan apabila prestasi Tae-su mula merudum selepas kecederaan dialami menyaksikannya hanya beraksi 15 kali dalam semua pertandingan domestik buat pasukan senior.

Tidak terhenti di situ, persembahan pemain berusia 35 tahun berkenaan semakin kerap dikritik selepas menjaringkan gol sendiri dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia 2024/25 yang menyaksikan skuad Sang Badak tersingkir.

Menyedari dirinya terus menjadi sasaran penyokong, Tae-su tampil meluahkan perasaan dengan mengatakan keputusannya menyertai kelab Borneo tanah air lebih lima tahun lalu meninggalkan momen manis bagi dirinya.

Tae-su kurang memberi impak buat skuad Sang Badak disebabkan masalah kecederaan dialami. Facebook/Sabah FC

"Sebagai seorang pemain import, dapat bertahan dan bermain bersama satu pasukan selama tujuh tahun adalah satu keistimewaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar perjalanan dalam bola sepak — ia adalah perjalanan hidup.

"Saya datang ke Malaysia tanpa mengenal sesiapa, tanpa mampu berbicara dalam bahasa tempatan. Semuanya asing. Tapi dalam pasukan ini, saya temui keluarga. Saya temui rumah kedua," katanya.

Luahan itu dikongsikan di laman Facebook peribadinya pada Rabu menyaksikan rata-rata penyokong Sang Badak mula tersentuh hati kerana pernah mempersoalkan tempatnya dalam pasukan.

Ini kerana kapten Sabah FC berkenaan juga sempat menabur janji dengan mengatakan dia akan kembali selepas mengharungi musim sukar akibat beberapa siri kecederaan dialami.

Tae-su (atas, kanan) sudah menemui cinta sebenar di negeri Borneo tanah air itu. Facebook/Park Tae Su

"Saya tidak pernah berjuang sendirian. Saya berdiri semula kerana kalian — kerana sokongan tanpa henti, kerana kepercayaan yang kalian titipkan. Pemain datang dan pergi, pemilik dan penaja silih berganti, tetapi penyokong Sabah yang sejati tetap berdiri teguh, memberi cinta tanpa syarat.

"Kalian bukan sekadar penyokong, kalian adalah denyut nadi perjuangan saya. Keluarga yang tidak pernah berpaling, yang ada saat saya tersenyum dan saat saya jatuh. Terima kasih, dari hati yang paling dalam. Untuk cinta, untuk doa, dan untuk segalanya. Saya tidak akan pernah lupakan ini — selamanya," tulis Tae-su.

Meskipun tidak pernah menjulang sebarang kejuaraan di Borneo tanah air, pemain berkenaan boleh dikatakan menemui kebahagiaan sejati bersama Sabah FC selepas menyatakan kesanggupan bersara di kelab itu.

Selain itu, Tae-su dilihat bersedia menetap di sana selepas difahamkan sudah membuka perniagaan kecil-kecilan yang pastinya menerima sokongan kukuh daripada peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram