Penyertaan meningkat, pengenalan Hall of Fame gamatkan arena SSR2025


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Edisi ke-10 SSR menyaksikan sebanyak 36 pasukan berentap dengan 24 daripadanya menyertai kategori utama sementara 12 lagi beraksi dalam kategori SSR Academy.

PEMINAT ragbi tempatan pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan aksi Super School Rugby (SSR) 2025 yang akan mempertandingkan dua kategori iaitu Malaysian SSR Grand Finals dan Malaysian SSR Academy Grand Finals.

Pertandingan yang merupakan saingan tertinggi bagi sekolah seluruh negara itu memasuki fasa baharu kerana sudah diadakan sebanyak 10 edisi sejak ia mula dianjurkan pada 2013.

Bagaimanapun, bagi saingan kali ini, satu kelainan dapat ditampilkan apabila sebanyak 24 pasukan akan bertanding berbanding 19 pada edisi lalu bagi kategori utama.

BACA LAGI: Pegang reputasi antara skuad ragbi terunggul tanah air, Muamalat Bullets buru kejuaraan hatrik

BACA LAGI: Kejohanan ragbi 'bertukar' piknik tepi padang, SARC 2024 dibatalkan penganjur, didakwa gagal lunas bayaran pengadil

SSR 2025 Kickoff Showcase — KK SHAM/The Star

Sharizin mengakui ada menerima pelbagai penyertaan bagi pertandingan tersebut.

Bagi SSR Academy pula, sebanyak lima pasukan baharu akan bertanding seperti SMK King Edwards VII, Perak dan KL Tigers yang merupakan kelab ragbi di Lembah Klang.

Ini menunjukkan satu kemeriahan bagi pertandingan yang amat dinanti-nantikan bagi saban tahun kerana ia kerap melahirkan pelapis yang kemudiannya akan bertanding di peringkat kebangsaan.

Pengarah kejohanan, Shahrizin Shahrudin berkata, kenaikan jumlah pasukan bertanding itu akan meningkatkan kemeriahan serta tarikan peminat sukan ragbi tempatan terhadap SSR.

“Memang kita berhasrat untuk menambah jumlah pasukan kerana kita sudah menerima banyak permohonan daripada sekolah yang berminat untuk bersaing dalam SSR kerana kita sudah meletakkan standard tinggi, jadi kita akan melakukan pemilihan.

“Tetapi, bagi kelima-lima sekolah ini hadir dengan pasukan lengkap kerana jika kita lihat, mereka memiliki sejarah tersendiri dalam sukan ragbi,” katanya kepada media ketika SSR2025 Kickoff Showcase di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

SSR 2025 Kickoff Showcase — KK SHAM/The Star

SSR mewujudkan Hall of Fame bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak.

Lima sekolah baharu yang akan bersaing dalam kategori itu ialah Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang; Maktab Rendah Sains MARA Alor Gajah, Melaka; SMS Teluk Intan, Perak; SMS Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan; dan SMS Sultan Mohamad Jiwa, Kedah.

Penganjuran pertandingan tersebut kali ini turut membawa kelainan kerana pihak penganjur tampil memperkenalkan Hall of Fame yang menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam menjayakan SSR sepanjang 13 ditubuhkan.

"Saya rasa SSR sudah mendapat perhatian banyak pihak dan saya yakin bukan penganjur atau pasukan sahaja yang menaikkan nama pertandingan ini kerana saya yakin ada individu yang meletakkan legasi baharu.

"Jadi, tahun ini kita memperkenalkan Hall of Fame dan kita akan teruskan bagi individu yang sudah membuat sumbangan sehingga menjadikan SSR sebagai satu pertandingan berprestasi tinggi ketika ini," katanya.

Bagi senarai pertama, Hall of Fame SSR menampilkan empat individu iaitu Khairol Azhar Mohd Noor, Nik Mohd Ramadhan Nik Abdullah, Mohamed Faris Pead dan Allahyarham Zainal Abidin Othman yang membawa sumbangan besar berdasarkan latar belakang masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram