[VIDEO] SSR 2025: Status pencabar baharu sedikit pun tak gentarkan SEMESTI, baik 'coach' mahu pun kapten


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

SEMESTI merupakan antara sekolah yang kerap bersaing dalam kejohanan ragbi di Perak. — Instagram/SEMESTI Rugby Team

SAINGAN Malaysia Super Schools Rugby (SSR) 2025 dimeriahkan dengan kehadiran 10 lagi pasukan yang melengkapkan senarai 36 pesaing bagi kedua-dua kategori secara keseluruhan.

Ini termasuk lima sekolah baharu yang bertanding untuk mencabar pemenang lalu, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) yang menjuarai Divisyen SSR buat kali kedua dalam sejarah penyertaan.

Meskipun usaha tersebut tidaklah mudah, kesemua pendatang baharu enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, termasuk Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Perak.

BACA LAGI: Pegang reputasi antara skuad ragbi terunggul tanah air, Muamalat Bullets buru kejuaraan hatrik

BACA LAGI: Penyertaan meningkat, pengenalan Hall of Fame gamatkan arena SSR2025

SSR bagi edisi ke-10 menampilkan 36 pasukan yang bakal berentap dalam dua kategori berbeza.

Ketua jurulatihnya, Ismail Ali Alipiah berkata, kejayaan melayakkan diri dalam pertandingan berprestij itu membuktikan pencapaian sukan ragbi sekolah berkenaan sudah dipandang tinggi ramai pihak.

"Alhamdulillah, kita tercalon dalam SSR 2025 dengan ini merupakan satu bentuk penghargaan amat tinggi buat sekolah ini. Dari segi perancangan, kita seperti 'newbies' dan akan nilai dari perlawanan ke perlawanan untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan format, SSR yang pertama kali dianjurkan pada 2013 hanya disertai pasukan jemputan dengan ini membuktikan kejohanan terbabit memiliki reputasi tersendiri dalam kalangan peminat.

Ini membuktikan SEMESTI yang memiliki program pembangunan ragbi sendiri sudah meletakkan diri mereka dalam landskap sukan itu sehingga dapat berada dalam kelompok 24 pasukan bertanding bagi kategori sekolah.

"Sebelum ini, di peringkat Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Perak, kita berpeluang berdepan sekolah yang menyertai SSR seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).

"Jadi, kita sudah tahu tahap mereka untuk kejohanan ini. Dari situ, kami akan cari cara menambah baik pasukan sendiri untuk mencapai kemenangan dalam aksi dalam peringkat kumpulan," katanya.

Selain SEMESTI, empat pasukan baharu yang akan bertanding dalam divisyen itu ialah Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang; MRSM Alor Gajah, Melaka;

SMS Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan SMS Sultan Mohamad Jiwa, Kedah.

Ismail (tengah) bersama kedua-dua pemain SEMESTI bagi saingan SSR 2025.

Pandangan sama turut dikongsikan kapten sekolah di Teluk Intan, Perak tersebut iaitu Syed Muhammad Azfar Rihdwan yang mengakui persiapan pasukan berada di tahap optimum.

"Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan dengan lancar. Kami akan cuba memberikan yang terbaik, sediakan saingan terbaik terhadap sekolah bakal kami hadapi dan kami akan cuba menang," katanya.

Meskipun nama sekolah tersebut tidaklah semegah pasukan lain yang bertanding, tonggak SEMESTI berusia 17 tahun itu kedengaran yakin untuk berada melepasi peringkat kumpulan dan berentap di pentas kalah mati.

Debut SEMESTI dalam SSR menyaksikan mereka diundi bersama pasukan terkenal seperti MCKK, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Integomb) serta Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram