Pegang reputasi antara skuad ragbi terunggul tanah air, Muamalat Bullets buru kejuaraan hatrik


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Para pemain rugbi tanah air dijangka sudah cukup bersedia untuk menghadapi kejohanan Corporate Super Rugby yang bermula 8 Februari nanti. — Facebook/CSR

GERGASI ragbi tanah air, Muamalat Bullets memburu kejuaraan ketiga berturut-turut apabila kejohanan Corporate Super Rugby (CSR) bermula 8 Februari nanti.

Pertama kali diperkenalkan sebagai Corporate Premier Rugby Championship (CPRC) pada 2022, kejohanan CSR yang bakal kembali buat musim ketiga akan menampilkan lapan pasukan ragbi mewakili syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Pengurus pasukan, Ts. Megat Mohammad Faisal Khir Johari menegaskan bahawa barisan pemain Muamalat Bullets bertekad untuk terus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sejak dua edisi lalu, sekaligus menjadi pasukan ragbi terunggul tanah air.

BACA LAGI: Petanda Man United akan karam makin jelas di sebalik baju pemanas badan Amad Diallo

BACA LAGI: 'Memang special', Slot puji melambung Salah, silap-silap kekal di Liverpool

WhatsApp Image 2025-01-24 at 11.39.44 (1)

Lapan pasukan akan berebut gelaran juara kejohanan Corporate Super Rugby. — Facebook/CSR

“Kami sedar bahawa pasukan-pasukan yang bertanding kali ini bakal memberikan cabaran yang hebat. Walaubagaimanapun, kami tetap percaya bahawa pengalaman luas barisan pemain yang bakal dipertaruhkan mampu untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Dalam sebuah majlis undian yang diadakan di ibu pejabat Enervive Sports, Subang, Selangor, juara bertahan Muamalat Bullets ditempatkan dalam Kumpulan B bersama-sama semi finalis tahun lalu TUDM Blackhawk, MBSJ Knights, dan MBJB Red Panthera.

Sementara itu, finalis edisi lalu PPTD Patriots pula berdepan cabaran getir dalam Kumpulan A apabila turut diundi bersama MBDK Royal Town Warriors. Turut melengkapkan kumpulan A adalah muka baharu kejohanan, JLJ Rugby dan Southern Oilers.

Juara bukan sahaja bakal menjulang piala kejohanan, malah akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000.00. Sementara itu, pasukan finalis turut bakal memperoleh RM8,000.00.

WhatsApp Image 2025-01-24 at 10.35.32

Muamalat Bullets diundi dalam Kumpulan B bersama-sama semi finalis tahun lalu TUDM Blackhawk, MBSJ Knights, dan MBJB Red Panthera.

Dianjurkan oleh Enervive Sports, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shahrudin, penganjuran berterusan kejohanan itu adalah penting bagi perkembangan ragbi negara.

“Kejohanan ini bakal menjadi medan bagi jurulatih pasukan kebangsaan mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan bagi membawa cabaran negara di peringkat antarabangsa.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malaysia Rugby atas sokongan yang diberikan dalam memastikan kelangsungan kejohanan ini demi perkembangan sihat ragbi tanah air,"jelasnya.

Shahrizin turut menekankan bahawa penglibatan dunia korporat adalah penting dalam memastikan industri sukan yang mampan.

“Kejohanan ini merupakan sebuah model terbaik penglibatan syarikat korporat dan badan kerajaan dalam industri sukan tempatan. Kami berharap inisiatif ini bakal terus menyemarakkan lagi arena ragbi dan sukan di Malaysia secara amnya," tambahnya.

WhatsApp Image 2025-01-24 at 10.35.24

Corporate Super Rugby dianjurkan oleh Enervive Sports.

Edisi ketiga Corporate Super Rugby ini bakal dimeriahkan lagi dengan sokongan IX Telecom Sdn Bhd, peneraju operator rangkaian maya antarabangsa selaku penaja utama kejohanan.

IX Telecom merupakan nama yang cukup sinonim dalam pembangunan sukan ragbi tanah air menerusi penglibatan dalam penganjuran Super Schools Rugby.

Kejohanan CSR tahun ini menjanjikan aksi hebat pasukan-pasukan bertanding bermula pada 8 Februari 2025 di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Sebanyak empat perlawanan berlangsung secara mingguan, menyaksikan semua pasukan berentap untuk menempah tiket ke CSR Grand Finals dijadual pada Mei nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram