Sudah masuk penghujung karier, 3 kuda tua masih rancak beraksi di Piala MFL 


  • Podium
  • Rabu, 16 Apr 2025

Shane Lowry, Romel Morales, Heberty dan Shahrul Saad berada dalam kesebelasan utama ketika JDT II menentang Penang FC II. — Facebook/JDT

MESKIPUN usia semakin meningkat dan ramai rakan seangkatan sudah bersara, ada masih kisah bintang bola sepak Liga Malaysia (Liga M) masih teguh berdiri di pentas kompetitif, membuktikan bahawa usia hanyalah angka. 

Kejohanan yang dimaksudkan ialah Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), yang menyaksikan kehadiran pemain-pemain berpengalaman dalam saingan berkenaan terus mencuri perhatian dan memberikan inspirasi.

Pemain senior berpengalaman itu bukan sahaja membawa nama besar dan reputasi tersendiri, malah mereka juga menjadi tonggak utama dalam pasukan masing-masing dengan ia menunjukkan komitmen serta semangat juang yang tinggi. 

BACA LAGI: Bek JDT, winger Sabah jadi sasaran Persib Bandung

BACA LAGI: 'Jeneral' Sabah FC puji Arif Aiman konsisten capai perkara sukar dalam bola sepak

Walaupun sudah menghampiri penghujung karier, mereka tetap menunjukkan prestasi konsisten dan berupaya memberi impak di atas padang. Ia jelas menunjukkan disiplin, dedikasi, dan semangat luar biasa yang dimiliki.

Penglibatan mereka dalam Piala MFL membuktikan bahawa pemain senior masih mempunyai tempat dalam kancah bola sepak profesional, terutamanya apabila pengalaman mereka dimanfaatkan untuk membimbing pemain muda. 

Saingan Piala MFL musim ini juga menyaksikan beberapa pemain senior turun padang membantu 'ubi muda' beraksi dalam kejohanan itu;

1) Heberty 

Heberty tampil dalam aksi satu Piala MFL. — Facebook/JDT

Walaupun sudah berada di penghujung karier, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Heberty Fernandes membuktikan dirinya masih relevan dan berbisa, terutama dalam membantu memperkuatkan jentera serangan Harimau Selatan.

Dengan pengalaman luas di peringkat domestik dan serantau, kehadiran Heberty memberi nilai tambah besar kepada skuad JDT dengan sudah tampil dalam 39 perlawanan dan meledak 16 gol serta 11 bantuan jaringan. 

Bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, malah tonggak kelahiran Brazil itu turut berperanan sebagai mentor kepada pemain muda apabila Heberty diturunkan bersama skuad JDT II menentang Penang FC II. Ia menyaksikan JDT II menang 7-0 ke atas Penang FC II. 

Tindakan itu menunjukkan fleksibiliti yang dimiliki oleh pemain berusia 36 tahun itu serta keyakinan barisan kejurulatihan terhadap kebolehannya menyumbang dalam pelbagai peringkat perlawanan.

Penampilan Heberty dalam perlawanan tersebut bukan sahaja menguatkan JDT II dari segi kualiti permainan, malah turut meningkatkan moral pemain muda yang mendapat peluang untuk bermain bersama seorang bintang ternama. 

2) Rizal Ghazali

Rizal bermain dalam dua aksi Piala MFL untuk KDA FC B. — Facebook/KDAFC

Bek kanan kelahiran Kedah, Rizal Ghazali kembali menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada awal musim 2025 selepas berkhidmat untuk Sabah FC selama dua musim, iaitu sejak Januari 2022

Walaupun sudah melepasi kemuncak usia seorang pemain bola sepak profesional, Rizal tidak kisah untuk bermain bersama skuad simpanan Sang Kenari dan secara tidak langsung menyumbang dalam membimbing pemain muda di peringkat akar umbi. 

Hal itu terbukti apabila pemain berusia 32 tahun berkenaan diturunkan dalam dua perlawanan untuk kejohanan Piala MFL bersama skuad KDA FC B. Ia merupakan satu langkah yang mencerminkan peranannya sebagai pemain dan pembimbing.

Meskipun beraksi di peringkat pembangunan, kehadirannya di atas padang memberi impak besar, terutama dalam memantapkan organisasi pertahanan dan membantu mempercepatkan pembangunan pemain-pemain muda.

Bersama skuad senior Sang Kenari pula untuk musim ini, bekas pemain kebangsaan berkenaan bermain dalam 14 perlawanan bersama pasukan Hijau Kuning dengan 11 daripadanya untuk aksi Liga Super. 

3) Park Tae-su 

Tae-su ketika bermain untuk Piala MFL. — Facebook/SabahFC

Musim 2025 terus menyaksikan kesetiaan pemain import dari Korea Selatan iaitu Park Tae-su bersama Sabah FC sudah bersama The Rhinos selama enam musim, sejak dia menyertai Sang Badak pada Januari 2019.  

Dari beraksi di peringkat Liga Perdana hingga ke Liga Super, pemain dari Korea Selatan itu menjadi tonggak utama benteng pertahanan dan kekal sebagai antara watak penting dalam pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu.

Walaupun kini berada dalam fasa akhir kariernya, Tae-su tetap menunjukkan disiplin tinggi dan prestasi konsisten setiap kali diturunkan termasuk ketika beraksi untuk skuad Piala MFL dalam dua aksi terakhir. 

Berdasarkan perkongsian Sang Badak di Facebook mereka, pemain berusia 35 tahun itu membantu Sabah FC II merekodkan kemenangan 3-1 menentang Negeri Sembilan FC dengan keputusan. Selepas itu, mencatat kemenangan ke atas PDRM FC dengan keputusan 5-2.  

Sabah FC jelas menggunakan kejohanan ini sebagai platform bukan sahaja untuk memberikan minit permainan kepada pemain pelapis, tetapi juga sebagai ruang untuk mengekalkan keserasian pasukan dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Tae-su. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram