Hebat dalam Piala MFL, tak mustahil 4 'ubi muda' Selangor naik pangkat


  • Podium
  • Selasa, 15 Apr 2025

Potensi dimiliki 'ubi muda' dalam Selangor FC II tidak boleh disia-siakan kelab Lembah Klang tersebut. — Facebook/Selangor FC

PERBEZAAN satu mata menyaksikan Selangor FC II gagal membawa pulang Piala MFL apabila mereka terpaksa berpuas hati menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) II menjulang trofi tersebut.

Kegagalan tipis itu berpunca daripada kekalahan 3-4 dialami skuad muda Gergasi Merah di tangan 'jiran', Kuala Lumpur (KL) City Extension dalam perlawanan ke-24 liga yang merupakan aksi kedua terakhir.

Bagaimanapun, penyokong Merah Kuning tidaklah begitu kecewa kerana pada pandangan mereka, pasukan itu tidak pernah lekang daripada memberi kepercayaan penuh kepada pemain muda.

BACA LAGI: Bukan tak percaya pemain muda, Piala MFL memang pentas rebut kejuaraan selain platform pembangunan

BACA LAGI: Sanggup turunkan pemain senior, fans anggap lawan cuba gagalkan misi Selangor julang Piala MFL

Selangor FC II menamatkan saingan Piala MFL di tangga kedua, satu mata di belakang JDT II. Facebook/MFL

Meskipun beberapa kali menurunkan bintang dari skuad utama seperti Alex Agyarkwa dan Zikri Khalil, Selangor FC II masih menjadi platform untuk mengasah bakat nama-nama muda yang berpotensi.

Potensi besar ditunjukkan setiap kali beraksi membuatkan sesetengah 'ubi muda' pasukan mula meniti bibir penyokong yang berharap mereka dapat diberi peluang dalam pasukan utama.

Harapan itu turut dikongsikan Muhammad Zulhilmi Rusdi yang cukup kagum dengan persembahan ditonjolkan anak-anak buah Abdi Hassan sambil menyatakan empat nama boleh diketengahkan untuk 'dinaikkan pangkat'.

"Berdasarkan prestasi cemerlang mereka selaku naib juara Piala MFL, saya percaya pencapaian tersebut sudah cukup membuktikan bahawa beberapa pemain muda layak diberikan peluang untuk diserap ke dalam pasukan utama.

Zulhilmi teruja menyaksikan persembahan skuad muda Gergasi Merah dalam Piala MFL. Instagram/Zulhilmi Rusdi

"Dalam aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC B semalam (pada Isnin), Selangor Bawah 23 Tahun (B-23) mempamerkan disiplin tinggi serta corak permainan yang agresif dan tersusun, satu petanda positif terhadap pembangunan akar umbi kelab.

"Antara pemain wajar diberi perhatian dan berpotensi dinaikkan ke skuad utama ialah Rahman Daud, Haykal Danish, Harry Danish dan Omid Musawi. Keempat-empat pemain ini menunjukkan karakter, kematangan serta tahap permainan yang membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya kepada Majoriti.

Dalam skuad utama Selangor FC ketika ini, terdapat barisan pemain muda yang kurang memberi impak setiap kali beraksi seperti Danial Asri dan Syahir Bashah dengan ramai beranggapan mereka perlu ditunjukkan jalan keluar.

Namun, pesanan diberikan saban musim itu terus diendahkan pihak pengurusan kerana mereka terus mengekalkan khidmat mereka yang malangnya tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Persembahan skuad Gergasi Merah dalam ACL Two musim ini agak mengecewakan. Selangor FC

Zulhilmi yang tidak pernah lekang mengikuti perkembangan Selangor FC turut menegaskan perubahan perlu dilakukan terhadap jentera serangan kerana kelemahan itu jelas kelihatan di pentas Asia musim ini.

"Kalau kita nilai keseluruhan kempen Selangor FC dalam ACL Two 2024/25, pencapaian mereka sebenarnya tidaklah mengecewakan. 10 mata daripada enam perlawanan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Tetapi, jika dilihat dari konteks sebenar, jelas kelihatan kelemahan yang ketara di jentera serangan. 

"Bahagian ini wajar diberi perhatian serius kerana pemain yang diturunkan sebagai penyerang gagal menampilkan prestasi meyakinkan dan tidak mampu memberikan impak diharapkan, khususnya dalam situasi genting yang memerlukan penyudah klinikal," katanya lagi.

Kejayaan menamatkan saingan Liga Super musim ini menyaksikan skuad Gergasi Merah layak ke kejohanan peringkat Asia itu buat kali kedua berturut-turut, namun mereka tidak boleh mensia-siakannya sekali lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram