
KAPTEN Perak FC, Luciano Guaycochea meluahkan rasa kekecewaannya terhadap pihak pengurusan kelab yang dianggap menganiaya para pemain.
Menerusi Insta Story miliknya, Guaycochea menegaskan bahawa pemain skuad The Bos Gaurus (TBG) berhak menerima bayaran tunggakan gaji mereka.
Sebagai kapten pasukan, Guaycochea menyatakan bahawa para pemain telah memberikan segala-galanya untuk pasukan dan sepatutnya mendapat pembayaran tersebut.
BACA LAGI: Mungkin ke Persis Solo, Ong Kim Swee kongsi ada hubungi Saddil Ramdani
BACA LAGI: 'Suka tak suka', Perak kena bermula dari bawah, lepaskan pemain berstatus bintang
Tangkap layar Insta Story Guaycochea. — Instagram/luchoguayco
"Sebagai kapten Perak FC, saya ingin menyuarakan rasa kekecewaan saya terhadap pengurusan kelab mengenai cara mereka melayan rakan sepasukan dan diri saya sendiri.
"Kami berhak menerima pembayaran tunggakan hutang kami kerana kami telah memberikan begitu banyak kepada kelab ini," ujarnya.
Pada masa yang sama, Guaycochea yang berasal dari Argentina turut memberi bayangan bahawa musim 2024/25 mungkin akan menjadi musim terakhirnya bersama Perak FC.
"Masa saya bersama kelab ini telah sampai ke penghujung. Saya sangat bersyukur atas tiga tahun yang indah di sini, yang mana hubungan saya dengan anda, para penyokong adalah perkara yang paling penting dan hebat.
"Dari perlawanan pertama saya hingga yang terakhir, saya telah memberikan segala-galanya, tanpa ragu," kata Guaycochea di laman Instagram.
Perak mengumumkan penarikan diri daripada Liga Super musim depan. — Facebook/Perakfc
Pemain tengah berketinggian 1.78 meter itu juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyambutnya di kelab.
"Saya ingin berterima kasih kepada semua orang yang saya temui dan yang sentiasa membuat saya rasa seperti di rumah, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, pengurus peralatan, jabatan perubatan, kakitangan pentadbiran, dan lain-lain.
"Anda semua akan sentiasa berada di dalam hati saya, Perak!Terima kasih!," tambahnya.
Sebelum ini, Pengerusi Perak, Datuk Seri Azim Zabidi mengatakan mereka sudah menghabiskan sekitar RM30 juta perbelanjaan untuk memastikan TBG terus bersaing dalam saingan Liga Super.
Tindakan Perak FC untuk menarik diri daripada pertandingan, termasuk tidak menghantar skuad bagi Piala Belia dan Piala Presiden dilihat sebagai satu titik tolak yang membawa kepada keputusan tersebut.
Selain itu, tular apabila pengurusan menawarkan hanya 20 peratus daripada hutang gaji enam bulan kepada para pemain sebagai penyelesaian masalah kewangan yang dihadapi.
Malah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut mengakui bahawa pihak kerajaan negeri sudah tidak mampu untuk menyelamatkan skuad TBG akibat kos operasi bola sepak Malaysia yang dianggap terlalu 'mahal'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram