KEHADIRANNYA ke Terengganu FC telah menarik perhatian ramai pada awal musim ini.
Mana tidaknya apabila seorang penyerang sensasi Asia Tenggara sudi datang bermain di Liga Malaysia.
Namanya adalah Adisak Kraisorn, penyerang yang sering dianggap cukup berbisa buat skuad kebangsaan Thailand bersama-sama dengan Teerasil Dangda.
Saat diumumkan sebagai pemain baharu Terengganu, keterujaan para penyokong cukup membara untuk menyaksikan penjaring terbanyak Piala AFF 2022 ini beraksi.
Malah, ketika aksi pertamanya untuk Terengganu dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur City FC pada pra-musim cukup memukau peminat. Saat bola sampai di kaki, sorakan padu diberikan penyokong kepadanya.
Namun itu sudah menjadi kenangan lalu, Adisak kini bukanlah penyerang pilihan malah prestasinya tidak memberangsangkan.
Penyokong sudah mula kecewa serta ada yang inginkan pemain dari Thailand ini digantikan dengan penyerang muda Terengganu yang lebih berkualiti.
Adisak tidak memberikan impak dimahukan oleh penyokong Terengganu.
"Boleh tak Adisak digantikan dengan ubi muda untuk perlawanan seterusnya?," soal penyokong yang menggunakan nama samaran Ganu Berkat.
Malah ada yang mahukan kontrak Adisak ditamatkan supaya kelab boleh memberi laluan kepada pemain lain yang lebih berkualiti.
"Tamatkan terus kontrak," kata Abe Lie.
"Dah boleh tamatkan kontrak, termasuklah si Liridon tu," ujar Wan Zairoz Wan Hassan.
"Nak habis musim tapi masih tak nampak bisa, pembelian yang kurang memuaskan," komen Saudagar Wex.
Siapa boleh ganti Adisak?
Melihat kepada kurangnya bisa ditonjolkan oleh Adisak telah membuka ruang kepada Terengganu untuk memberi laluan buat pemain muda dalam pasukan untuk menyerlah.
Setakat ini, Terengganu mempunyai dua nama yang boleh diketengahkan iaitu Syahmi Zamri dan Muslihuddin Atiq.
Syahmi merupakan pemain muda yang boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang dan penyerang.
Kebelakangan ini, namanya sering menjadi tumpuan dek kerana persembahan baiknya bersama Terengganu.
Dia diingati kerana menjaringkan gol dalam saingan suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC selain menyelamatkan Terengganu daripada kalah kepada Bali United dengan jaringan penyamaan minit akhir sewaktu tugasan Piala AFC.
Pemain muda ini turut menonjolkan kualitinya buat Terengganu FC II. Hal ini dapat dilihat apabila Syahmi menjaringkan gol kemenangan pasukannya ketika bertemu Kuala Lumpur City Extension dalam aksi Liga Juara Piala MFL pada Sabtu.
Syahmi memukau penyokong Terengganu dengan bisanya di depan gol.
Selain daripada Syahmi, satu lagi nama yang boleh dijadikan pengganti adalah Muslihuddin Atiq.
Pemain yang muncul dari kancah Terengganu Amateur League ini mendaki sedikit demi sedikit tangga kejayaan sebelum berhasil menjadi sebahagian daripada skuad Terengganu.
Penyerang ini bagaimana pun sering diletakkan sebagai pemain sayap, namun potensi yang ada pada Atiq tidak sepatutnya dipandang sepi.
Mungkin jika Adisak diketepikan, akan terbuka peluang buat Muslihuddin lebih kerap diturunkan sambil boleh menonjolkan skilnya sebagai seorang pemain.
Namun begitu, Adisak masih mempunyai setahun dalam kontraknya bersama-sama Terengganu jadi pengurusan perlu mengambil keputusan bijak mengenai perkara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram