
TONGGAK import Sri Pahang FC, Stefano Brundo tidak dinafikan merupakan antara watak utama buat skuad Tok Gajah sejak pemain kelahiran Argentina berkenaan menyertai kelab pada awal musim 2023.
Pemain yang mampu bertugas sebagai bek tengah dan pemain tengah bertahan itu sering memberikan aksi konsisten sama ada dari segi impak di atas padang serta penghasilan gol untuk membanti Tok Gajah kekal bersaing dalam saingan liga.
Bukan hanya menawarkan kualiti bertahan yang tidak usah dipertikaikan lagi, pemain berusia 31 tahun itu juga mengumpul jumlah gol memuaskan dengan merekodkan sebanyak 19 jaringan gol sejak musim lepas.
Lebih menarik, pemain berketinggian 1,91 meter berkenaan sebenarnya tidak beraksi di posisi serangan ketika itu dengan sebaliknya Brundo lebih banyak diletakkan selaku pertahanan tengah serta tengah bertahan.
Bagaimanapun, dengan keadaan Sri Pahang yang difahamkan akan menarik diri dari saingan Liga Super musim depan, nasib Brundo juga semakin samar-samar sama ada akan bermain dalam kejohanan domestik ataupun berkelana ke negara lain.
Bercakap mengenai masa depan bersama pasukan Pantai Timur berkenaan, Brundo yang beraksi sebagai ketua pasukan itu berharap pihak pengurusan skuad Tok Gajah akan terus beraksi dalam saingan Liga Super.
Status skuad Tok Gajah sama ada kekal bersaing atau tidak dalam saingan utama Liga Malaysia itu masih menjadi tanda tanya. — Facebook/SriPahang
"Kami berharap untuk tetap berada di sini (Sri Pahang). Ia tidak bergantung kepada kami. Ia bergantung kepada bos (pihak pengurusan) kami. Saya berharap, kami akan terus bermain dan berjuang untuk malam seperti ini.
"Saya sangat berterima kasih kepada mereka. Mereka datang sokong. Ada orang yang ada masalah duit tetapi sanggup bayar tiket. Kami menghargainya. Kami bermain untuk sokongan daripada penyokong ini.
"Saya tidak suka bercakap tentang itu (tawaran). Kadang-kadang ada yang mendekati nak beri tawaran tapi kadang-kadang hanya bertanya khabar. Sebelum ini, saya sangat fokus pada permainan ini dan sekarang, mari kita lihat apa yang berlaku," katanya kepada Majoriti.
Brundo musim ini mencetak tujuh gol untuk saingan Liga Super. — Facebook/SriPahang
Selain ingin meneruskan karier bersama Pahang, Brundo juga mengakui gemar dengan suasana Malaysia baik dari segi budaya hingga ke sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat Muslim di tanah air.
"Kehidupan di Malaysia sangat luar biasa bagi saya. Sangat menakjubkan kerana ini adalah pertama kali saya datang ke Pahang. Saya berasal dari Amerika Selatan dan tidak tahu apa-apa tentang Malaysia. Sampai sini, saya sangat terkejut kerana orang dan atmosfera yang hebat.
"Saya sangat menyukai negara ini. Saya sangat menyukai Pahang. Saya bukan Muslim tetapi saya sangat menyukai orang-orang Muslim di Malaysia. Saya sangat berterima kasih kepada anda semua dan seluruh Malaysia," kongsinya.
Brundo antara watak utama dalam saingan final Sri Pahang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pentas final Piala Malaysia, yang menyaksikan Tok Gajah tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram