[VIDEO] Tiga ramalan keputusan final Piala Malaysia fans jadi kenyataan lebih awal


  • Podium
  • Ahad, 27 Apr 2025

Antara aksi JDT menentang Sri Pahang dalam final Piala Malaysia pada Sabtu. — Facebook/MFL

KELAB elit Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta satu lagi rekod baharu apabila melakar 'hatrik quadruple' atau memenangi empat piala dalam satu musim buat kali ketiga berturut-turut.

Ia susulan kejayaan skuad Harimau Selatan merangkul trofi Piala Malaysia selepas bangkit menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi final yang dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kemenangan itu menjadikan Harimau Selatan terus menyapu bersih empat trofi termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia selepas melakar pencapaian sama pada musim 2022 dan 2023.

BACA LAGI: [VIDEO] Heberty akui Pahang sukar ditangani, Jun-heong terus cium Arif Aiman lepas selamatkan nasibnya

BACA LAGI: Arif Aiman tiada saingan, raih MVP 4 kali gambaran program pembangunan gagal tapi tetap bertuah dikelilingi 'push factor'

Kejayaan menawan pentas final Piala Malaysia musim ini juga menyaksikan dendam 11 tahun Harimau Selatan ke atas Tok Gajah terbalas selepas mereka tewas kepada pasukan Pantai Timur itu di pentas akhir kejohanan sama pada tahun 2014.

Bukan final jika tiada keputusan kontroversi mewarnai aksi final berkenaan dengan Razlan Joffri Ali selaku individu diberi tanggungjawab menjadi pengadil menerima kritikan dalam kalangan penyokong.

Untuk rekod, Razlan sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila direhatkan susulan kontroversi semasa aksi Liga Super melibatkan JDT dan Perak pada tahun lalu.

Insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain dari kedua-dua pasukan, penalti memihak kepada JDT dan keputusan pengadil itu seperti sudah diramal awal oleh majoriti penyokong bola sepak tanah air.

"Sudah jangka, mesti ada sepakan penalti pada aksi final ini," kata penyokong tanah air, Sulaiman Akup.

"Cerita dah tahu segalanya, pengadil memang akan buat hal untuk kacau permainan," tambah penyokong, Haziq Danial.

"Fandi Ahmad sudah tahu tapi banyak yang lalai," komen Palatao Bola yang merujuk kepada kerisauan dan kenyataan jurulatih Sri Pahang itu sebelum hari perlawanan mengenai sistem pengadilan final Piala Malaysia.

Sebelum ini, Fandi menegaskan adil tandanya kemakmuran dengan harapan bahawa tiada isu berat sebelah berlaku menjelang hari penting di antara Sri Pahang dan JDT. Namun, perkara berkenaan tetap terjadi.

Antara insiden yang menjadi tumpuan ialah dua layangan kad kuning pada separuh masa pertama ke atas pemain Sri Pahang, Sergio Aguero. Pada ketika itu, JDT ketinggalan menerusi jaringan T Saravanan sebelum menyamakan kedudukan menerusi penalti Bergson da Silva pada minit ke-53.

Bagaimanapun, Harimau Selatan turut terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Park Jun-heong turut dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran pada minit ke-57. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram