Tiap final adalah ‘special’, apa saja berkemungkinan — Fandi


Oleh M AZIM
  • Podium
  • Rabu, 23 Apr 2025

Fandi tidak mahu merendahkan peluang skuad Tok Gajah untuk mencipta kejutan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KEPADA Fandi Ahmad, setiap final piala adalah Istimewa dan aksi kemuncak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini, juga tidak berkecuali. Sesuai dengan debaran, tuntutan dan jangkaan daripada perlawanan sebesar itu, ketua jurulatih Sri Pahang FC itu juga percaya apa saja kemungkinan boleh berlaku.

Sebagai seorang veteran daripada sembilan perlawanan akhir Piala Malaysia -- 1979, 1980, 1981 dan 1994 bersama Singapura, 1987, 1988 dan 1989 bersama Kuala Lumpur dan 1992 bersama Pahang – dia harus tahu lebih daripada kebanyakan orang lain.

Enam daripada final itu menyaksikan dia berada di pihak yang bergelar juara, termasuk kali terakhir apabila Singapura membelasah Pahang 4-0 dalam final 1994 di Stadium Shah Alam apabila dia menjaringkan satu gol manakala pemain import dari Australia, Abbas Saad, bergelar wira hatrik.

BACA LAGI: JDT ada lebih masa untuk bersedia — Fandi Ahmad

BACA LAGI: Top 6 liga sekadar 24 jam, Fandi tetap tidak merungut

Singapura menjulang Piala Malaysia 1994 dengan Fandi mencetak satu gol.

Setiap satu daripada final berkenaan melekat dalam ingatannya sejak muncul pemain termuda pada usia 17 tahun 21 hari dalam penampilan sulungnya yang berkesudahan dengan linangan air matanya apabila Singapura tewas 0-2 kepada Selangor di Stadium Merdeka pada 16 Jun 1979.

Bersama Pahang yang turut menampilkan Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan dalam kesebelasan utama berganding dengannya, Fandi terpaksa merelakan Zulhamizan Zakaria dijulang selaku wira dengan gol seawal minit kedua dalam kemenangan 1-0 ke atas Kedah dalam final 1992.

“Semua orang mahu bermain dalam final piala seperti Piala Malaysia ini. Suasananya sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Saya bertuah kerana banyak mengecapi aksi final baik di Malaysia, Singapura mahupun di Indonesia,” kata Fandi berkongsi kenangan dengan Bola Pegun menjelang aksi final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu.

Bukan lagi sebagai pemain tapi kini berperanan sebagai pakar taktik pasukan, Fandi akur daripada segi perbandingan keupayaan individu pemain, Sri Pahang FC tidak boleh diletakkan setaraf dengan Harimau Selatan – juara Piala Malaysia empat kali pada 2017, 2019, 2022 dan 2023 daripada tujuh penampilan dalam final.

Skuad Harimau Selatan hadir ke final Piala Malaysia sebagai juara bertahan.

Tidak kisah dengan pilihan ramai yang awal-awal sudah mengangkat JDT sebagai juara sekali lagi, Fandi lebih berminat bercakap mengenai tanggungjawab pasukannya untuk menjadikan final kali ini satu lagi aksi kemuncak yang bermakna dan seboleh-bolehnya menghindarkan pertemuan berat sebelah.

“Kami tahu kami akan berdepan lawan yang bukan calang-calang (tapi) sebuah pasukan yang jauh mengatasi lain-lain pasukan dari segi teknikal. Hakikat mereka tidak kalah satu perlawanan pun dalam liga (kecuali satu keputusan seri 1-1 dengan PDRM FC) menceritakan kehebatan mereka,” katanya.

Sebagai perbandingan dengan JDT yang tampil juara liga bagi kali ke-11 berturut-turut, Sri Pahang FC pula dilihat berhempas-pulas sepanjang liga musim 2024/2025 untuk akhirnya berkesudahan di tangga kelapan – merosot dari tangga kelima pada penghujung musim 2023.

Dengan Harimau Selatan memiliki himpunan besar pemain yang memudahkan sistem penggiliran mengikut kesesuaian taktik dan keupayaan lawan, Tok Gajah pula tempang dengan kehilangan empat pemain – Kpah Sherman (penggantungan), Manuel Hidalgo (pinjaman dari JDT), David Rowley dan Ashar Al Aafiz Abdullah (kedua-duanya kerana cedera).

Kpah terpaksa melupakan perlawanan akhir Piala Malaysia disebabkan penggantungan.

Sherman – penyumbang tiga gol dalam Piala Malaysia dan lapan gol liga – dan Hidalgo dengan masing-masing empat dan tiga gol dalam dua pertandingan berkenaan, pastinya akan paling dirasai ketiadaan mereka sebagai penyumbang utama jaringan pasukan musim ini.

Diusik ia membawa petanda tidak baik menjelang final kerana Rowley dianggapnya pemain yang sering membawa tuah dengan kemasukannya kerap menyelamatkan pasukan daripada kekalahan, Fandi menjawab: “Agak malang bagi dia kerana mengalami kecederaan meniskus dan gred pertama ACL. Dia mengadu sakit ketika berlari dan tidak boleh diturunkan. Tapi Rowley bukan satu-satunya good luck charm (azimat bertuah) kami. Sekarang kami juga ada Sean Selvaraj.”

Ramai juga menjangkakan Sri Pahang FC akan meletakkan dua buah bas di hadapan pintu golnya bagi menyulitkan barisan penyerang JDT diketuai Bergson da Silva daripada menyusup masuk.

Sambil tidak menolak perkara itu ada terlintas di fikirannya – sama seperti yang dibaca ramai – jurulatih itu bagaimanapun menepisnya sebagai gurauan semata-mata kerana tindakan itu hanya akan mengundang lawan untuk mengasak pintu gol pasukannya dengan tidak berhenti-henti.

Fandi mungkin menggunakan pendekatan bertahan untuk mengekang pihak lawan. Facebook/Sri Pahang FC

“Kami mungkin dapat halang beberapa serangan JDT dengan tindakan park the bus tapi mereka akan datang lagi dan lagi sehingga kami tidak mampu lagi bertahan. Lagipun, kami tidak boleh berharap untuk bertahan sepanjang 90 minit ketika berdepan sebuah pasukan juara sebagus JDT.

“Jadi, kami berkira-kira untuk bermain dengan cara kami, iaitu absorb and counter (serap dan serang balas) dan berusaha untuk menyekat gerakan mereka ketika mereka cuba membina serangan dari bahagian tengah padang lagi,” katanya.

Enggan dituduh tidak bersikap realistik terhadap kemampuan barisannya, Fandi menyandarkan kepada ‘semangat baru’ yang diraih di peringkat kalah mati Piala Malaysia untuk melakukan satu atau dua kejutan ke atas JDT.

“Saya harap kami dapat mengejutkan mereka hasil semangat baru yang kami peroleh. Mood dalam pasukan sangat bagus, dengan pemain-pemain bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi. Saya cuma harap mereka tidak ditenggelami oleh suasana perlawanan akhir kerana kebanyakannya akan beraksi buat kali pertama di peringkat ini.

Fandi tidak mahu merendahkan kualiti anak-anak buahnya. Facebook/Sri Pahang FC

“Saya akur dengan setakat mana kualiti (pemain) yang saya miliki. Tentunya kami akan mencuba dengan sehabis daya kami. Apa yang saya pesan ialah kami akan terus berjuang semampu kami dan kami tidak akan mudah mengalah dan berputus asa.

“Satu lagi yang boleh saya kongsikan ialah suasana perlawanan akhir boleh sama ada menelan anda hingga anda rasa seperti kehilangan atau ia boleh mengerah anda ke satu tahap luar biasa yang tidak boleh hendak diceritakan.

“Harap-harap pemain-pemain saya akan termasuk dalam keadaan yang kedua itu untuk menjadikan final kali ini seimbang dan mendebarkan.

“Saya hanya mohon tolong doakan kejayaan kami kerana doa anda sangat bermakna dalam perjuangan kami,” kata Fandi lagi.

Meski tidak dinyatakannya, Fandi seakan-akan tahu doa ramai rakyat Malaysia yang akan mengiringi perjuangan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram