
MESKIPUN kemeriahan perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 tidaklah begitu dirasakan, peminat setia Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC pasti tidak mahu melepaskan peluang hadir ke pertembungan itu.
Aksi yang dijadualkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada Sabtu itu menyaksikan pertembungan sedikit kekok kerana jurang kedua-dua pasukan amat jelas musim ini.
Selepas menjulang tiga gelaran domestik sepanjang kempen, JDT sudah tentu mahu menjuarai Piala Malaysia, sekali gus menjadi pasukan pertama yang mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
BACA LAGI: Fandi selesa status ‘underdog’ Pahang, motivasi Bidoglio mencanak kerana JDT
BACA LAGI: Top 6 liga sekadar 24 jam, Fandi tetap tidak merungut
Fandi (kiri) pasti mengharapkan kejayaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/MFL
Namun, skuad Tok Gajah yang berada dalam situasi berbeza tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal dengan pengendalinya, Fandi Ahmad beberapa kali menegaskan pelbagai perkara mampu berlaku.
Dia yang pernah menjulang trofi tersebut sebagai pemain sudah tentu berhasrat menjuarai gelaran tersebut sebagai ketua jurulatih selepas pernah mencubanya bersama JDT, Lions XII dan pasukan semasanya itu.
Bagaimanapun, di sebalik cita-cita besar itu, pengendali kelahiran Singapura berkenaan sempat meletakkan harapan agar perlawanan diadili dengan sebaiknya.
"Ya, football is a funny game, kita hanya mahukan keadilan, harus adil sahaja. Menang atau kalah, saya tiada masalah. Keadilan itu adalah tanda kemakmuran bagi saya," katanya.
Pada pertengahan Disember lalu, Fandi membuat teguran secara terbuka terhadap mutu pengadilan susulan kekalahan Sri Pahang FC kepada JDT dengan keputusan 1-3.
Ini selepas tiga daripada anak-anak buahnya dilayangkan kad kuning sementara pemain lawan tidak mengalami sebarang hukuman meskipun tonggak skuad Tok Gajah, Kpah Sherman diasak beberapa kali.
Selain itu, Fandi yang kini berusia 62 tahun mempersoalkan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan penalti diberikan buat JDT meskipun permainan sudah diteruskan.
Situasi berkenaan bukan sahaja menerima rungutan jurulatih tersebut, malah menerima persoalan penyokong kerana masing-masing mengharapkan mutu pengadilan dapat dipertingkatkan.
Insiden sebegitu sememangnya diharapkan tidak akan berulang, lebih-lebih lagi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang merupakan satu saingan berprestij selepas lebih 100 tahun dipertandingkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram