
PERTEMBUNGAN akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC seperti sudah dapat dijangkakan dengan skuad Harimau Selatan diramal mudah mempertahankan gelaran.
Bagaimanapun, bagi pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad, peluang kecil dimiliki pasukannya tidaklah terlalu mengecewakan kerana dia sendiri selesa hadir dengan status 'underdog'.
"Pemain kita tiada tekanan dan bebanan kerana dalam beberapa perlawanan terakhir, mereka beraksi secara bebas. Bukan senang berdepan pasukan seperti Perak FC dan Sabah FC, kita tiada harapan lagi untuk liga dan tumpuan kita dalam Piala Malaysia.
BACA LAGI: JDT ada lebih masa untuk bersedia — Fandi Ahmad
BACA LAGI: Tiap final adalah ‘special’, apa saja berkemungkinan — Fandi
Fandi menyedari jurang kualiti antara pasukannya dengan JDT. — Facebook/Sri Pahang FC
"Jadi, penting bagi mereka tahu tujuan serta tugas mereka dan penting bagi pemain untuk tahu bermain buat pasukan, bukan untuk individu kerana matlamat beraksi untuk pasukan, kalah menang tidaklah begitu terasa," katanya.
Fandi berkata demikian dalam sesi sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) dengan dia turut ditemani kapten pasukan, Fadhli Shas pada Jumaat.
Skuad Tok Gajah yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan sememangnya sukar untuk memberi tentangan kepada JDT yang tidak mengalami sebarang kekalahan musim ini.
Tidak cukup dengan itu, pasukan Selatan tanah air berkenaan juga berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai semua pertandingan domestik, sekali gus menjadi mereka pilihan peminat bola sepak.
Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio, motivasi pasukannya hadir seiring perasaan mewakili JDT dengan suntikan tersebut diharapkan membawa jaguh bola sepak tempatan itu muncul juara.
"Pada saya, sumber semangat sebenar hadir daripada peluang mewakili pasukan ini. Kita perlu berikan 100 peratus di atas padang dan menunjukkan bahawa kita sudah bersiap sebaik mungkin.
Bidoglio menuntut persembahan terbaik daripada anak-anak buahnya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Kita juga perlu tunjukkan inilah momen dan potensi kami. Ini adalah bola sepak, pada saya, JDT sudah beraksi cemerlang di peringkat domestik, tetapi ini adalah bola sepak.
"Dalam tempoh seminit, anda boleh kalah segala-galanya, jadi kita perlu tampilkan aksi terbaik sepanjang 90 minit dan penting untuk berikan persembahan sebenar," katanya.
Musim ini, JDT sekali lagi mendominasi arena bola sepak tanah air selepas menjulang Piala FA, Liga Super dan Piala Sumbangsih dengan hanya satu perlawanan tidak berakhir dengan kemenangan buat mereka.
Ini merupakan tugasan besar buat skuad Tok Gajah yang mahu mencalarkan rekod itu dalam usaha memburu gelaran Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram