
SEJURUS Liga Super musim 2024/2025 berakhir, banyak khabar angin mengaitkan mengenai jendela perpindahan termasuk berita dua pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Roque Mesa dan Jonathan Viera dilaporkan bakal meninggalkan pasukan lebih awal daripada jangkaan.
Kehadiran kedua-dua pemain dari Sepanyol itu pada awal musim ini telah menaikkan semangat penyokong Harimau Selatan yang mengharapkan impak besar daripada pengalaman mereka di peringkat tertinggi Eropah.
Mesa yang sebelum ini pernah beraksi bersama kelab La Liga seperti Las Palmas dan Sevilla disambut dengan penuh harapan apabila diumumkan sebagai salah seorang pemain baharu Harimau Selatan.
BACA LAGI: JDT ada lebih masa untuk bersedia — Fandi Ahmad
BACA LAGI: Lepas bantu JDT nikmati musim bersejarah, Arif Aiman 'aim' rekod peribadi
Gaya permainan yang tenang dan penuh disiplin di bahagian tengah menjadikan pemain berusia 35 tahun berkenaan sebagai aset penting dalam merencana serangan pasukan dengan gelaran 11 kali juara Liga Super itu.
Sementara itu, Viera juga bekas pemain Las Palmas dan satu ketika dahulu menjadi tonggak utama pasukan tersebut di La Liga turut membawa reputasi tinggi ketika tiba di Harimau Selatan pada Februari lepas.
Khabar angin mengaitkan dua pemain itu akan keluar Harimau Selatan mula dibicarakan selepas kelibat mereka tidak kelihatan pada jamuan makan malam untuk para pemain dan barisan kejurulatihan JDT di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Kehilangan dua pemain bertaraf bintang ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kekuatan skuad JDT, terutama menjelang saingan penting seperti Piala Malaysia dan kempen antarabangsa.
Mesa (kiri) dan Viera diambil bagi memperkuatkan pasukan itu pada Februari lepas.
Walaupun prestasi mereka dilihat belum benar-benar memuncak, potensi besar yang dimiliki oleh kedua-dua pemain tidak boleh dinafikan. Keputusan untuk berpisah lebih awal pastinya akan mengundang perbincangan hangat di kalangan peminat bola sepak.
Dalam pada itu, ada juga spekulasi mengatakan bahawa perpindahan itu mungkin membuka ruang untuk kemasukan pemain import baharu yang lebih sesuai dengan keperluan semasa pasukan. JDT terkenal dengan strategi agresif mereka dalam pasaran perpindahan, dan sebarang kekosongan pasti akan diisi segera.
Buat masa ini, penyokong JDT hanya mampu menunggu sebarang pengumuman rasmi dari kelab. Sementara itu, harapan masih diletakkan agar Mesa dan Viera dapat menyumbang sesuatu sebelum mereka benar-benar meninggalkan Stadium Sultan Ibrahim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram