
PEMAIN pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul tidak menafikan khabar angin yang kini hangat diperkatakan di media sosial apabila namanya dikaitkan dengan perpindahan ke Thailand.
Bek tengah berusia 21 tahun tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa dia bersedia untuk berkelana ke negara jiran itu pada musim depan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh Ubaidullah ketika menghadiri majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) musim 2024/2025 pada Rabu.
BACA LAGI: Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat
BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT
Meskipun tidak berjaya memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik, dia tetap membawa pulang senyuman apabila pasukannya, Terengganu FC merangkul Anugerah Fair Play.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram astroarenahd, Ubaidullah sempat menunjukkan kebolehannya memahami bahasa Thailand apabila menjawab soalan daripada hos MFL, Mia Ibrahim.
Ketika diajukan soalan 'adakah awak sihat?' dalam bahasa Thai, Ubaidullah pantas membalas dengan jawapan 'ALHAMDULILLAH', sekali gus mencuri perhatian ramai, memandangkan tidak ramai yang mengetahui bahawa pertahanan TFC itu berdarah campuran Thai melalui ibunya.
Tindakannya itu sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai perpindahan ke Thailand, yang jelas tidak dinafikannya secara langsung.
Ubaidullah juga kelihatan sudah cukup bersedia untuk mencabar diri di pentas bola sepak luar negara.
Jika khabar tersebut menjadi kenyataan, bek tengah berkenaan akan mengikuti langkah beberapa pemain tempatan yang pernah cuba ke negara jiran itu seperti Safawi Rasid dan Dominic Tan.
Malah, perpindahan tersebut bakal menyaksikan Ubaidullah menggilap bakat di Thailand bersama beberapa 'ubi muda' negara, termasuk Muhammad Abu Khalil serta Fergus Tierney yang kini beraksi buat Nakhon Pathom United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram