Sempat beri penghormatan buat Milos, bek Kedah hampir jadi milik Penang


  • Podium
  • Selasa, 22 Apr 2025

Ariff Farhan musim ini tampil dalam 29 aksi domestik bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

DESAS-DESUS mengenai masa depan pemain pertahanan Kedah Darul Aman(KDA) FC, Ariff Farhan Md Isa semakin hangat diperkatakan apabila terdapat laporan yang mengatakan dia bakal menyertai Penang FC untuk musim akan datang.

Khabar angin berkenaan mula hadir selepas pemerhati bola sepak tanah, Zulhelmi Zainal Azam menyatakan bahawa pemain berusia 28 tahun berkenaan difahamkan menerima tawaran daripada Penang FC.

"Biar jasa jadi kenangan, Ariff Farhan Md Isa difahamkan tinggalkan Kedah dan sertai Penang musim depan," katanya memetik ciapan yang dimuat naik pada laman X pada Selasa.

BACA LAGI: 'Saya tak boleh buka mulut', Milos Gordic tinggalkan Kedah tanpa gaji

BACA LAGI: 'Selamat tinggal, Kedah'

Ariff Farhan yang merupakan antara tonggak utama Kedah dalam beberapa musim terakhir, dikenali dengan larian pantas serta kebolehannya menyokong serangan dari bahagian sayap kiri.

Kehilangan anak jati Pokok Sena, Kedah itu pastinya akan dirasai oleh skuad Hijau Kuning, terutamanya dari segi kestabilan di bahagian pertahanan dan juga pengalaman yang dimilikinya.

Dengan Penang FC yang kini giat memperkukuh pasukan mereka menjelang musim baharu, pastinya Ariff Farhan antara pemain berpengalaman diperlukan Harimau Kumbang bagi memperbaiki prestasi mereka di Liga Super Malaysia.

 

 

Pihak pengurusan Penang FC mahupun Kedah setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai khabar angin berkenaan. Manakala, Ariff Farhan juga tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai desas-desus tersebut.

Sebaliknya, Ariff Farhan sempat memberi penghormatan buat rakan sepasukannya iaitu Milos Gordic susulan perjuangan import dari Serbia itu yang kekal bersama Sang Kenari di waktu susah.

"Bratee mojj. Terima kasih untuk segalanya. Aku tak peduli apa orang kata dekat kau, aku tak peduli apa orang fikir pasal kau.

"Kau boleh saja balik lebih awal duduk dengan anak isteri kau tapi kau pilih untuk berjuang sampai ke garisan penamat. Terima kasih Milos," katanya pada laman Insta Story miliknya pada Selasa.

Tangkap layar hantaran dari Ariff Farhan.

Memetik laporan sebelum ini, Gordic hampa kerana terpaksa pulang semula ke kampung halamannya di Serbia tanpa gaji dengan dia juga mengakui berasa ingin menangis kerana kesukaran dialaminya namun terpaksa mendiamkan saja diri.

Gordic antara pemain import yang setia dengan Kedah walaupun sering dikritik oleh penyokong-penyokong Sang Kenari akibat ketumpulan di depan gol. Disebabkan kesetiaannya, dia masih menerima penghargaan tertinggi oleh para penyokong Kedah setiap kali beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram