
SRI Pahang FC tampak sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran getir menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024.
Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Penang FC itu pastinya menjadi pembakar semangat dan suntikan motivasi buat anak-anak buah Fandi Ahmad sebagai memberi amaran awal kepada skuad Harimau Selatan.
Dalam aksi terakhir Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Temerloh, skuad Tok Gajah terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila penyerang import, Mykola Ahapov yang membuka tirai jaringan pada babak pertama.
BACA LAGI: Tonggak tengah TFC mahu Sang Kenari jadi 'hadiah' ubati musim kecewa Sang Penyu
BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT
Mykola Ahapov muncul wira buat Sri Pahang selepas mencetak gol kemenangan. — Facebook/Sripahangfc
Namun, Penang FC bangkit dengan penuh semangat selepas kembali dari rehat apabila Alif Ikmalrizal Anuar menyamakan kedudukan seawal babak kedua bermula.
Tidak mahu terus ditekan, Sri Pahang kembali di hadapan menerusi jaringan Syazwan Andik menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-58.
Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila kesilapan pertahanan Tok Gajah, Stefano Brundo menghadiahkan gol penyamaan kepada Harimau Kumbang.
Ketika perlawanan tampak menuju ke masa tambahan, Ahapov sekali lagi muncul sebagai wira dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus melengkapkan malam gemilang buat Sri Pahang.
Kemenangan berharga itu menjadi kenangan manis buat Sri Pahang, apabila ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut sekali gus menutup tirai musim ini dengan penuh bermakna.
Penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan tidak menampilkan prestasi cemerlang ketika bertemu Penang FC. — Facebook/Sripahangfc
Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut turut menjadi isyarat jelas bahawa mereka bukan lawan yang boleh dipandang ringan menjelang pertembungan getir menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April nanti.
Bagaimanapun, persembahan yang ditampilkan oleh penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan menerima reaksi negatif daripada penyokong.
Ia susulan beberapa kesilapan mudah yang dilakukannya, termasuk yang membuka ruang kepada terhasilnya dua gol pihak lawan.
“Kiper ini tangkap bola tak pernah nak lekat, mesti melantun saja bola itu,” kata Bukhairi Said.
“Kiper macam budak sekolah yang tangkap bola,” kata Barge Machine.
“Bagilah nanti Azfar Arif main final, Zarif ini sudah macam tangkap burung puyuh saja,” kata Suhairul.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Sri Pahang kini menghuni tangga keenam liga dengan meraih 29 mata hasil tujuh kemenangan, lapan seri dan sembilan kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram