
AKSI Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor menyaksikan kemenangan meyakinkan Selangor FC ke atas PDRM FC.
Namun, kejayaan itu turut dibayangi insiden malang melibatkan pemain sayap The Red Giants, Faisal Halim yang mengalami kecederaan ketika perlawanan tersebut.
Pemain sayap Gergasi Merah, Faisal dilaporkan mengalami kecederaan serius dipercayai patah tulang hidung selepas insiden pertembungan pada minit ke-55.
BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT
Dalam insiden tersebut, Faisal bertembung dengan kapten PDRM, Faith Friday Obilor apabila siku pemain lawan dilihat terkena tepat ke bahagian mukanya.
Menurut laporan pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom, Faisal berkemungkinan besar mengalami patah pada tulang hidung dan sedang menerima rawatan lanjut.
“Harga yang mahal terpaksa dibayar Faisal Halim. Difahamkan dia mengalami kecederaan patah hidung selepas pelanggaran dengan Faith Friday Obilor pada minit ke-54," katanya di laman X.
Bagaimanapun, di sebalik insiden itu, Selangor tetap berjaya mengawal permainan dan mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Alvin Fortes pada minit ke-49 serta gol lewat permainan oleh Yohandry Orozco dalam masa kecederaan.
Kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Selangor dalam saingan Liga Super, tetapi juga menjadi tonik semangat buat pasukan meskipun kehilangan Faisal dalam aksi yang penuh intensiti tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram