Tonggak tengah TFC mahu Sang Kenari jadi 'hadiah' ubati musim kecewa Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Sebahagian sesi latihan terakhir Sang Penyu menjelang pertemuan menentang Sang Kenari. — Facebook/TFC

TONGGAK tengah Terengganu FC, Akram Mahinan bertekad menjadikan aksi terakhir Liga Super musim 2024/2025 menentang Kedah Darul Aman FC sebagai hadiah sagu hati buat para penyokong setia Sang Penyu.

Biarpun tiada lagi misi besar yang dipertaruhkan, Akram menegaskan tiada ruang untuk bermain sambil lewa dalam pertemuan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad.

“Ini perlawanan penutup. Tiada alasan nak tarik gear atau santai-santai,” katanya menerusi laporan Stadium Astro.

BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT

BACA LAGI: Keputusan tepat, bekas prospek TFC lebih bersinar lepas sertai Perak

Pemain tengah Sang Penyu, Akram Mahinan. Facebook/TFC

Mengulas prestasi pasukan sepanjang musim, Akram mengakui penghijrahannya ke Pantai Timur buat kali pertama tidak memberikan kepuasan sepenuhnya.

Apatah lagi, sasaran awalnya adalah untuk membantu TFC sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas carta Liga Super.

“Banyak perkara berlaku musim ini daripada pertukaran jurulatih hingga isu pemain import. Semua itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan kami.

“Kami juga banyak bergantung kepada pemain tempatan, khususnya di bahagian pertahanan, dan jarang sekali dapat menurunkan kesemua lima pemain import secara serentak dalam satu perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu mahu pasukan menjadikan musim ini sebagai pengajaran untuk bangkit lebih kuat pada musim depan.

“Musim ini perlu jadi pengajaran. Letakkan sasaran lebih tinggi musim depan dan bina semula kekuatan,” katanya penuh semangat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram