
NAIB johan Liga Super musim 2024/025, Selangor FC kini dikaitkan dengan usaha mendapatkan Eliano Reijnders iaitu pemain pertahanan kanan yang kini beraksi bersama PEC Zwolle di Belanda.
Perkara tersebut dikongsikan pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshawaran di laman X dengan laporan tidak rasmi itu membuatkan rata-rata penyokong teruja untuk mengalu-alukan kehadirannya.
"Selangor sedang memantau perkembangan Eliano Reijnders yang boleh beraksi sebagai pertahanan dan penyerang di bahagian sayap. Pemain berusia 24 tahun itu meraih tiga kaps bersama skuad Indonesia dan merupakan adik kepada bintang AC Milan dan Belanda, Tijjani," tulisnya.
BACA LAGI: Penyokong usah khuatir, tiada kesan bahaya Faisal beraksi di atas padang — Selangor FC
BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani
Pemain berusia 24 tahun berkenaan mempunyai keupayaan bermain di beberapa posisi termasuk penyerang sayap kiri dan tengah menyerang, ia menjadikannya aset serba boleh untuk mana-mana pasukan.
Reijnders yang memiliki kewarganegaraan Indonesia-Belanda sudah menyertai PEC Zwolle sejak 2020 dan kontraknya akan berakhir pada 30 Jun 2027. Namun, dia dilaporkan terbuka untuk meninggalkan kelab itu memandangkan kurangnya peluang bermain sebagai pilihan utama.
Meskipun namanya digemari ramai penyokong untuk menyertai Gergasi Merah, Reijnders bagaimanapun bukan individu sesuai untuk menjadi pembelian utama Selangor susulan tiga perkara.
1) Statistik tidak meyakinkan di Eredivisie
Reijnders sudah menyertai PEC Zwolle sejak 2020. — Agensi
Walaupun Selangor FC berminat membawa masuk Reijnders ke dalam skuad mereka, statistik pemain pertahanan kanan itu di Eredivisie bersama PEC Zwolle menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya.
Sepanjang musim 2024/2025, Reijnders hanya mencatatkan 17 penampilan dalam semua kejohanan disertai PEC Zwolle dengan kebanyakannya sebagai pemain gantian dan gagal mencipta sebarang jaringan atau bantuan gol.
Gagal mengekalkan posisi sebagai pilihan utama di kelab Eredivisie turut mencerminkan bahawa Reijnders mungkin masih belum mencapai tahap konsistensi dan kualiti yang diharapkan untuk bersaing dalam liga yang semakin kompetitif seperti Liga Super Malaysia.
Hal itu mencetuskan kebimbangan sama ada pemain muda itu benar-benar sesuai untuk menggalas tanggungjawab besar dalam sistem taktikal Selangor FC yang menuntut kepantasan dan ketepatan di bahagian sayap dan pertahanan.
Meskipun begitu, pihak pengurusan Selangor dilihat masih berminat atas faktor usia muda Reijnders yang baru mencecah 24 tahun serta latar belakangnya yang memiliki kerakyatan Indonesia, menjadikannya potensi pelaburan jangka panjang.
2) Fokus posisi lebih kritikal seperti penyerang
Ronnie menjadi watak utama Gergasi Merah musim ini. — Facebook/SelangorFC
Ketika jendela perpindahan semakin hampir, Selangor FC disarankan agar memberi tumpuan kepada posisi yang lebih kritikal seperti penyerang utama berbanding mengambil pemain seperti Reijnders.
Dalam situasi semasa pasukan Lembah Klang berkenaan yang kekurangan penyudah tajam di hadapan gol itu, membawa masuk seorang pemain bertahan bukanlah satu keutamaan mendesak dalam skuad mereka.
Prestasi skuad Gergasi Merah pada musim lalu turut memperlihatkan kelemahan ketara di bahagian serangan, khususnya selepas kehilangan beberapa peluang jaringan dalam perlawanan penting.
Kegagalan memanfaatkan peluang dan ketiadaan penyerang klinikal menyebabkan Selangor terlepas mata penting dalam saingan liga dan piala. Oleh itu, keutamaan pembelian pemain import sepatutnya diberi kepada posisi penyerang, yang mampu memberi impak segera dan konsisten dalam menjaringkan gol.
Gabungan pemain di bahagian serangan iaitu Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Faisal Halim sekadar meledak 40 jaringan. Daripada jumlah tersebut, Ronnie yang membawa watak sebagai penyerang import merekodkan 10 gol sahaja.
3) Quentin tengah cemerlang
Quentin turun dalam 35 perlawanan musim ini bersama Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC
Prestasi cemerlang pemain kebangsaan, Quentin Cheng di posisi pertahanan kanan lagi-lagi pada musim ini menjadi sebab utama mengapa skuad kendalian Katsuhito Kinoshi tidak perlu membawa masuk Reijnders.
Quentin bukan sahaja konsisten dari segi pertahanan, malah turut aktif membantu dalam serangan, menjadikan pemain berusia 25 tahun itu sebagai pemain serba boleh yang memberi nilai tambah kepada pasukan.
Untuk rekod, Quentin sudah merekodkan empat jaringan gol dan empat bantuan jaringan dalam 35 aksi pemain tinggi lampai itu diturunkan pada musim ini.
Sepanjang musim 2024, Quentin telah membuktikan bahawa dia mampu bersaing di peringkat tertinggi, dengan statistik yang meyakinkan dari segi ketepatan hantaran, jumlah terjahan bersih serta sumbangan kepada permainan menyerang.
Keupayaannya untuk bertahan dan menyokong serangan memberi fleksibiliti kepada Selangor dalam pelbagai bentuk formasi, tanpa memerlukan pemain import tambahan di posisi tersebut. Malah, keserasian yang telah terjalin dengan rakan sepasukan menjadi faktor penting yang tidak wajar diganggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram