
BAGI peminat bola sepak di Selangor, mereka sudah pasti cukup sinonim dengan saingan Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang sudah dianjurkan sejak bertahun-tahun dahulu.
Tumpuan sudah pasti diberikan kepada Liga Perdana yang membuka tirai pada hujung minggu lalu dengan beberapa aksi mendebarkan disaksikan, termasuk penampilan pertama Anak Sejati Football Club (ASFC) dalam divisyen tersebut.
Mereka yang pertama kali beraksi dalam kejohanan anjuran FAS di peringkat bawahan pada 2019 tidak berdepan sebarang masalah untuk menampilkan aksi terbaik apabila berjaya menundukkan Sun Riders FC pada Ahad lalu.
BACA LAGI: Sanggup turunkan pemain senior, fans anggap lawan cuba gagalkan misi Selangor julang Piala MFL
BACA LAGI: Pernah patah jari nak ke stadium, Faizal kongsi pahit manis sokong Selangor, idea bangunkan ASFC
Dalam perlawanan yang berlangsung di JSA Arena B, Setia Alam, Selangor itu, ASFC membawa pulang tiga mata dengan pengendalinya, Faizal Wahid jelas bergembira menyaksikan persembahan anak-anak buahnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anak-anak buah saya kerana semua pemain turun beraksi sehingga mencatatkan kemenangan 2-1. Mereka mengikut persiapan dibuat daripada latihan selama kira-kira tiga, empat bulan membuat persiapan.
"Akhirnya, ini kali pertama sejak 2019, ASFC berjaya melayakkan diri ke Liga Perdana FAS dan ini merupakan perlawanan pertama dan kita meraih kemenangan pertama," katanya kepada Majoriti.
Lebih membanggakan lagi, pasukan itu tampil dibarisi beberapa pemain muda termasuk penjaga gol, Faiz Haziq Khairul Anuar yang beraksi cemerlang meskipun baru berusia 16 tahun.
Faiz menggagalkan dua percubaan berbahaya daripada pihak lawan sepanjang berada di atas padang.
Persembahan memukau daripada pelajar di SMK Jalan Kebun, Shah Alam itu menampilkan aksi bersemangat apabila berjaya menepis dua bantuan penyerang lawan yang kedua-duanya boleh dianggap cukup berbahaya.
Bagaimanapun, kecederaan pada babak kedua permainan menyaksikan anak kelahiran Klang, Selangor itu terpaksa dikeluarkan sebelum gawang mereka dibolosi menerusi percubaan jarak dekat Sun Riders FC.
"Kita menurunkan penjaga gol berusia 16 tahun dalam kesebelasan utama. Dia berjaya menahan asakan dan saya gembira kerana ini merupakan titik permulaan buat pemain itu dalam kariernya. Dia sebelum ini beraksi dalam skuad Bawah 16 Tahun (B-16) dan kita mengangkatnya ke dalam pasukan senior," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, ASFC pada awalnya mendahului dengan dua jaringan sebelum asakan pihak lawan menyaksikan gawang mereka dibolosi, namun tentangan Sun Riders FC dapat dikekang.
Kemenangan tipis itu menyaksikan pasukan kendalian Faizal Wahid itu menduduki tangga keempat Kumpulan B Liga Perdana FAS dengan kedudukan teratas kini milik Sri Setia Putra.
ASFC selepas ini bakal berdepan Port Rangers FC dalam perlawanan di Pandamaran Arena B, Klang, Selangor pada Sabtu depan yang pastinya akan menjanjikan satu lagi pertembungan mendebarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram