
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
BERJAYA, sekadar tepati sasaran atau gagal yang boleh ditakrifkan buat Perak FC musim ini? Mengambil kira segala perkembangan dalam pasukan dari awal musim hingga tirai pertandingan Liga Malaysia 2024/2025 dilabuhkan pada Ahad, skuad The Bos Gaurus itu boleh dianggap tidak mengecewakan.
Jaya atau gagal hendaklah juga diukur daripada bajet yang disediakan. Dan daripada bajet itu pula, harus dinilai prestasi ditunjukkan pemain-pemain yang didatangkan mengikut kemampuan. Seperkara lagi, keupayaan untuk mereka dikekalkan sepanjang musim dan bukan sekerat jalan.
Daripada pertimbangan sedemikian, barulah penilaian yang adil dapat dibuat mengikut acuan sendiri dan bukan diperbandingkan dengan pasukan lain yang bajet, prestasi pemain dan permasalahan dihadapinya sama sekali berbeza.
BACA LAGI:
BACA LAGI:
Yusri Che Lah.
Dari tangga kelapan sebelum sepak mula malam tadi yang kesudahannya menyaksikan mereka menang 1-0 ke atas Sabah FC di Kota Kinabalu, Perak FC berupaya naik setakuk untuk menolak Sri Pahang FC – di tangga keenam sebelum itu – turun ke tangga kelapan.
“Syukur ALHAMDULILLAH, ALLAH memberikan kami kejayaan yang memang kita perlukan untuk berada di tangga ketujuh. Tahniah kepada staf saya yang bertungkus-lumus dari hari pertama hingga hari terakhir, bekerja dan berusaha dengan saya, berada di belakang saya.
“Dan juga semua pemain yang bertungkus-lumus dengan apa juga keadaan semasa. Pemain dan staf saya, bagi saya, adalah tunjang kekuatan atau kejayaan sebenarnya.
“Juga famili saya di rumah yang sentiasa mendoakan kejayaan kami dan memberi harapan dan sokongan kepada saya untuk kekal berdiri di hadapan pemain-pemain saya.
“Walaupun ada ketika kami dicemuh, kami diherdik oleh peminat kami sendiri, apa yang pasti apa yang kami lalui hanya kami yang memahami situasinya,” kata ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, seusai perlawanan itu yang dimenangi 1-0 hasil gol sendiri Rawilson Batuil pada minit ke-29.
Harus tidak ramai yang menduga skuad TBG mampu mengatasi Sang Badak di tempatnya sendiri. Tetapi apa pun keputusan sebenarnya tidak akan mengubah kedudukan Sabah FC di tangga ketiga liga – satu pencapaian serupa buat musim ketiga berturut-turut. Kad merah buat beknya, R. Dinesh, pada minit ke-42 tidak mempermudah keadaan.
Tapi Perak dalam keadaan serba kesulitan. Dilaporkan pasukan itu mengalami isu tunggakan gaji yang sudah memasuki hampir lima setengah bulan.
“XOX (selaku penaja utama) telah membelanjakan nilai yang begitu besar dalam tempoh tiga tahun iaitu sekitar RM30 juta. Tiba masanya, kami tidak boleh untuk membantu lagi. Daripada pihak kami, habis kering disebabkan Perak ini," kata Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi.
"Insya-ALLAH kami akan membuat bayaran, cuma sedang menunggu sumbangan daripada pihak-pihak tertentu tetapi belum menerima sebarang maklum balas meskipun kami sudah menghubungi setiap hari untuk memberikan peringatan. Apabila duit masuk, kami akan langsaikan. Kami akan sedaya-upaya untuk membayar semua," tambahnya seperti dilaporkan Astro Arena.
Perak menamatkan musim dengan nota kemenangan.
Hilang khidmat Luka Milunovic dan Jesper Nyholm apabila kontrak mereka tamat akhir Disember lalu – tiga minggu selepas pemain sayap lincah dari Korea Selatan, Lee Tae-min, turut angkat kaki – Perak FC yang sudah pun tempang terus terjejas apabila Luiz Motta terkeluar untuk baki musim Februari lalu selepas menjalani pembedahan.
Tinggallah kapten, Luciano Guaycochea, Sunday Afolabi, Adilet Kanyebekov dan Clayton da Silva dalam senarai importnya untuk meneruskan perjuangan pasukan.
“Secara keseluruhan kita faham kita memungut 30 mata (untuk mengisi tangga ketujuh). Saya tak mahu bercakap tentang “kalau” atau “jika”. Kalau dilihat hanya pasukan Perak yang sentiasa bertukar pemain dalam setiap posisi dan ramai pemain muda.
“Apa yang harus kita lakukan adalah seandainya kita mahu memberi tekanan kepada pasukan-pasukan yang berada di atas kita, KL, Terengganu contohnya, kita perlulah lebih berdaya saing dari segi pemain.
“Kalau dilihat hanya pasukan Perak yang sentiasa bertukar pemain dalam setiap posisi dan ramai pemain muda. Saya seringkali memberi ruang dan peluang kepada mereka dan akhirnya membuahkan banyak hasil.
“Ini walaupun dalam keadaan biasa bukan mudah untuk pemain baharu untuk berada dalam liga kita yang nampak macam biasa tapi sebenarnya penuh dengan tekanan,” kata Yusri.
Sewaktu berbaki empat perlawanan liga, Perak FC masih berupaya kekal dalam kelompok Top 6, dengan Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC masih menanti selaku rintangan di penghujung musim.
Namun, keciciran dua mata ketika diikat Negeri Sembilan FC 0-0 (8 Mac) dan hilang tiga mata lagi ketika tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC (19 April) – ruginya kerana kedua-dua aksi adalah di Stadium Manjung – menyebabkan congakan mereka jadi ke laut kesudahannya.
Begitupun, andai diingat, jurulatih berusia 48 tahun itu dalam satu temu bual dengan Bola Pegun menjelang tahun baharu 2025 melahirkan harapan tidak sekadar mahu melihat Perak FC meningkat dari tangga ketujuh liga ketika itu, malah turut mengelakkan rekod bolos 55 gol ketika menduduki tangga ke-11 pada akhir musim 2023.
Pada analisis akhirnya, Perak FC melonjak kembali ke tangga ketujuh, mengatasi rekod bolos 55 gol musim 2023 dengan hanya ditembusi 36 kali di samping naik empat takuk dari tangga ke-11.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan peningkatan yang telah ditunjukkan – ada komitmen para pemain, ada komitmen jurulatih yang sering kali berada bersama dengan saya dan di belakang saya.
“Kerana bukan mudah untuk kita – setiap pemain dan setiap jurulatih – yang berada dalam keadaan yang ada sekarang (dengan tidak bergaji lebih lima bulan).
“Apa pun, berikan kejayaan ini buat mereka, yakni pemain dan jurulatih saya yang seringkali bertungkus-lumus dengan saya,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram