Lagu See You Again jadi klu jodoh Safuwan Baharudin bersama Gergasi Merah terlerai sudah


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Sekiranya benar bek tengah itu bakal meninggalkan Selangor, kehilangan Safuwan pastinya satu tamparan besar buat pasukan Gergasi Merah. — Facebook/Selangorfc

PERTAHANAN kental Selangor FC, Safuwan Baharudin memberi petunjuk berkemungkinan besar akan meninggalkan pasukan apabila kontraknya bersama Gergasi Merah bakal tamat hujung Mei ini.

Bayangan itu hadir menerusi satu hantaran di Insta Story miliknya yang memperlihatkan dia menarik keluar nombor jersi yang berserta namanya dengan berlatarbelakangan warna gelap, satu isyarat jelas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Lebih mencuri perhatian, Safuwan turut menggunakan lagu latar berjudul See You Again, yang seolah-olah memberi petunjuk kepada perpisahan.

BACA LAGI: 'Hakikatnya busuk seperti bangkai', masalah gaji Perak FC, Wan Zack Haikal sifatkan diri tak ubah seperti pengemis jalanan

BACA LAGI: KDA FC kembali bernyawa, penaja baharu tampil selamatkan Sang Kenari musim depan

Tangkap layar Insta Story Safuwan pada Khamis.

Tindakan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong Selangor FC mengenai masa depannya bersama pasukan Lembah Klang itu.

Pemain kebangsaan Singapura itu merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Katsuhito Kinoshi musim ini, beraksi cemerlang di benteng pertahanan dengan 29 penampilan, empat gol dan tiga bantuan jaringan.

Sumbangannya juga menjadi antara faktor kejayaan Selangor FC menjuarai Challenge Cup serta muncul naib juara Piala FA.

Menurut semakan di laman Transfermarkt, kontrak Safuwan bersama Selangor dijadual tamat pada 31 Mei 2025, dan sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai lanjutan kontrak tersebut.

Sekiranya benar bek tengah itu bakal meninggalkan Selangor, kehilangan Safuwan pastinya satu tamparan besar buat pasukan yang kini dalam proses membina skuad lebih mantap untuk musim akan datang.

Dengan rekod prestasi yang konsisten dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Safuwan dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk menarik minat kelab lain, baik dalam mahupun luar negara.

Namun begitu, ada segelintir penyokong masih berharap akan ada keajaiban di saat akhir untuk mengekalkan pemain berprofil tinggi itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram