PSM terima lamaran ASTAF anjur Piala Asia 2025


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

Sebahagian aksi menarik skuad negara yang berdepan cabaran dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 Mei lalu. — Facebook/Bolarotantv

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menggalas tugas sebagai tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang bakal diperkenalkan buat julung kalinya.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu diperhalusi terutama berhubung dana bagi menganjurkan kejohanan itu.

"Secara dasarnya, kita bersetuju. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya, dana dan takwim kita tahun depan yang dijangka penuh. Kita ada Sukan SEA di Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan mungkin kejohanan lain yang turut akan berlangsung," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM pada Isnin.

BACA LAGI: 'Siapa cepat dia dapat', 3 kelab 'tumpul' boleh sambar Lucas Silva bulan depan

BACA LAGI: [VIDEO] Coach dedah 'Messi Kampar' pernah sertai Anak Rimau, main bola sampai wakili Perak

WhatsApp Image 2024-07-02 at 14.41.57

Sumali (depan, kiri) memaklumkan PSM menerima tawaran ASTAF untuk menggalas tugas sebagai tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025. Facebook/PSM

Menurut Sumali, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ASTAF, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi mendapatkan pandangan berhubung penganjuran kejohanan itu tahun depan.

"Selepas itu, kita akan buat keputusan sepenuhnya sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri kejohanan lain terlebih dahulu," ujarnya.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan pada Jun lalu memaklumkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF di Bangkok sebulat suara bersetuju untuk melantik Malaysia selaku tuan rumah Piala Asia 2025.

Abdul Halim berkata, faktor utama Malaysia diberi kepercayaan ditawarkan penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal antaranya Malaysia berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan cemerlang pada 16 hingga 26 Mei lalu.

Mesyuarat Agung Tahunan PSM turut menyaksikan skuad takraw negara menerima insentif khas berjumlah RM170,000 yang dijanjikan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 Jun lalu.

Sebelum ini, MSN meluluskan pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing kepada pasukan regu dan double berikutan kejayaan muncul juara, manakala regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000.

Cek disampaikan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM,) Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram