
DUA penjaga gol senior Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Farizal Marlias dan Izham Tarmizi menawarkan berpengalaman berlatih di bawah mereka dengan kos berpatutan kepada semua pemain muda terutama yang berminat meneruskan karier dalam posisi tersebut.
Dalam hantaran di Instagram ZeroOne GK Official, satu poster dimuat naik dengan tawaran 'Klinik Goalkeeper' kepada mana-mana pemain berusia 16 tahun ke bawah yang berminat untuk menjadi benteng pertahanan terakhir.
"Kepada adik-adik yang berminat atau ingin belajar untuk menjadi seorang penjaga gol, mari turun padang sertai Klinik Goalkeeper bersama Farizal Marlias dan Izham Tarmizi pada 4 Mei ini. Jangan lepaskan peluang keemasan," tulisnya.
BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT
BACA LAGI: Jordi Amat disebut-sebut ke Liga 1, fans Singapura ramal Safuwan isi kekosongan Asean JDT
Beberapa hantaran lain di media sosial itu memaparkan pelbagai aspek menarik yang akan diajar, termasuk pembangunan dari segi mental serta cara memperbaiki tempoh tindak balas.
Kelas yang diadakan dengan yuran serendah RM20 itu menjanjikan pengalaman bermakna kerana pemain muda bukan sahaja dapat memperbaiki aspek asas sebagai penjaga gol, malah dapat menimba pengalaman daripada dua bintang Harimau Selatan itu.
Meskipun kelas singkat, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yakin bahawa penjaga gol muda yang berguru dengan mereka akan dapat meraih banyak pengalaman daripada duo JDT tersebut.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli.
"Banyak pengalaman yang mereka boleh dikongsikan. Mereka adalah penjaga gol yang beraksi dengan sebuah kelab yang sebaris dengan kelab-kelab handal di Malaysia, serantau dan di Asia. Penjaga gol lain tidak rasa peluang ini. Pemain-pemain muda harus merebut peluang ini.
"Jika melihat dari sudut Farizal dan Izham pula, inisiatif ini satu petanda yang positif, sudah pastilah sebagai pemain yang pernah mewakili sebuah kelan bola sepak yang canggih dan serba lengkap, mereka perlu bijak merebut peluang meraih pengalaman berharga ini.
"Sememangnya nama JDT cukup besar dan banyak pengalaman berharga boleh mereka kongsikan kepada pemain di luar JDT," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, Pekan juga melihat insiatif yang dilakukan dua pemain JDT berkenaan merupakan persediaan awal untuk mereka sebelum membuat keputusan menggantung but nanti susulan Farizal dan Izham sudah berada di ambang penghujung karier mereka.
Untuk rekod, Farizal sudah berusia 38 tahun dan Izham pula berusia 33 tahun. Farizal musim ini tidak merekodkan apa-apa penampilan bersama JDT dan Izham pula hanya tampil dalam satu aksi Piala MFL.
Peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama dua pemain bertaraf bintang itu sukar ditolak.
"Memang saya lihat Farizal dan Izham kini boleh dikatakan sudah berada di ambang penghujung karier mereka. Walaupun kita tahu kerjaya sebagai pemain bolasepak di posisi penjaga gol ini memang boleh beraksi dengan baik walaupun pada usia sehingga 40 tahun.
"Namun prestasi pasti menurun pada usia ini kerana perlu berdepan dengan corak latihan yang lasak dan lebih fokus lagi. Ini belum lagi bab persaingan kuat dengan penjaga gol yang lebih muda dan penjaga gol import khususnya yang bersama dengan pasukan JDT sekarang.
"Jadi apabila kita melihat Farizal dan Izham sudah mula menceburi bidang kejurulatihan dengan mengadakan 'klinik goalkeeper' ini, ya ini suatu persediaan awal untuk mereka sebelum mereka menggantung but nanti.
"Memang tidak salah lagi ini adalah transition proses yang sedang mereka atur untuk masa depan mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram